Melaka benarkan 500 jemaah

.MELAKA 4 Sept. – Mulai esok, semua masjid kerajaan di Melaka membenarkan 500 jemaah hadir bagi solat Jumaat, fardu dan solat jenazah susulan peralihan Melaka ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Che Sukri Che Mat, berkata walaupun dibenarkan menerima sehingga 500 jemaah, jumlah yang dibenarkan tetap bergantung kepada keluasan masjid.

“Ia bergantung kepada keluasan premis dengan penjarakan fizikal 1.5 meter. Contohnya, jika penjarakan fizikal hanya mampu menampung 300 jemaah, maka jumlah maksimum adalah 300 sahaja,” katanya

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata bagi masjid kariah dan institusi pula dihadkan dengan 200 jemaah dan 100 orang bagi surau.

Katanya, kebenaran solat berjemaah dan aktiviti pengimarahan juga hanya dibenarkan kepada warganegara dan penduduk tetap, manakala warga asing masih tidak dibenarkan menyertai sebarang aktiviti di masjid mahupun surau.

Kanak-kanak bawah 12 tahun juga tidak digalakkan hadir.

Beliau juga meminta jawatankuasa masjid dan surau memastikan sistem pengudaraan yang baik bagi mengelakkan risiko jangkitan Covid-19 dalam kalangan jemaah.

Jemaah juga perlu mematuhi SOP sedia ada seperti tidak bergejala seperti batuk, demam, selesema, sesak nafas, berwuduk di rumah, memakai pelitup hidung dan mulutn serta membawa sejadah saiz standard.

Mereka juga perlu mendaftar kehadiran melalui MySejahtera atau sistem pendaftaran yang disediakan masjid atau surau.

Aktiviti pengimarahan yang dibenarkan adalah kukiah Subuh dan Maghrib, bacaan Yasin dan tahlil pada hari Jumaat.

Che Sukri juga berkata, pertambahan kehadiran dalam majlis akad nikah di masjid kariah negeri dan Pejabat Agama Islam Daerah turut dibenarkan.

Kehadiran di masjid kariah, katanya, ditetapkan tidak melebihi 23 orang membabitkan 20 ahli keluarga pasangan pengantin termasuk wali, manakala di Pejabat Agama Islam Daerah pula tidak melebihi 13 orang membabitkan 10 ahli keluarga pasangan pengantin termasuk wali

Related posts

Leave a Comment