SEPANG 27 Julai – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, menggesa rakyat khususnya pengundi awal Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Negeri Sembilan membuat pilihan dengan tenang, bebas dan bijaksana.
Katanya, mereka perlu membuat pilihan tepat dengan memilih calon berdasarkan integriti, kemampuan, keupayaan membina muafakat serta kesungguhan untuk berkhidmat kepada rakyat.
Beliau berkata, setiap undi yang diberikan membawa amanah besar dalam menentukan hala tuju Negeri Sembilan dan masa depan pentadbiran negeri itu.
“Negeri Sembilan memerlukan sebuah pentadbiran yang stabil, cekap, berintegriti dan berlaku adil kepada seluruh rakyat. Saya menyeru semua pengundi awal supaya membuat pilihan dengan tenang, bebas dan bijaksana.
Nilailah calon berdasarkan integriti, kemampuan, keupayaan membina muafakat dan kesungguhan untuk berkhidmat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu dan Naib Presiden Pas turut menggesa pengundi memberikan kepercayaan kepada calon PN atau Barisan Nasional (BN) yang bertanding di kawasan masing-masing selaras dengan persefahaman yang dicapai antara kedua-dua gabungan itu.
“Berikanlah kepercayaan kepada calon PN atau BN yang bertanding di kawasan masing-masing untuk membentuk sebuah pentadbiran baharu yang lebih stabil, adil dan sejahtera.
“Marilah kita menjaga keamanan, keharmonian dan masa depan Negeri Sembilan dengan berpegang kepada adat serta memperkukuh muafakat,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua yang akan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal, khususnya anggota keselamatan yang terbabit dalam proses pengundian.
“Penghargaan khusus kepada anggota keselamatan, pasangan dan keluarga masing-masing. Khidmat, disiplin dan pengorbanan tuan-tuan dan puan-puan dalam menjaga keselamatan serta kedaulatan negara sentiasa dihormati dan dihargai,” katanya.
Nnnn
