Negara ini ada undang-undang

KUALA LUMPUR 27 Julai – Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kumpulan pelarian yang bertindak mengganggu ketenteraman awam atau cuba menguasai mana-mana kawasan di negara ini.

Perdana Menteri  Anwar Ibrahim berkata, mereka tetap perlu mematuhi undang-undang negara dan tidak boleh bertindak sehingga menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan masyarakat setempat.

Justeru katanya, agensi penguat kuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) diarah  mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.

Mengulas tindakan ratusan pelarian Rohingya yang berkumpul di hadapan pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Jalan Bukit Petaling di sini hari ini, Anwar menegaskan bahawa semua pihak wajib menghormati undang-undang yang berkuat kuasa di negara ini.

“Dia (pelarian) berpangkalan di pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian, ganggu lalu lintas. Kita kena tegas. Negara ini ada peraturan, ada hukum. Dia tak boleh, umpamanya memilih untuk mengambil mana-mana kawasan bandar.

Sebab itu saya telah arahkan (Jabatan) Imigresen, polis, pihak bandar raya ambil tindakan tegas. Yang tidak ada permit, harus diheret ke (Jabatan) Imigresen, manakala yang mempunyai dokumen kita kena beri amaran… kalau tidak, tindakan undang-undang akan diambil,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penutup Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa 2026 di sini, hari ini.

Anwar berkata walaupun kerajaan memahami hasrat sebahagian pelarian untuk mendapatkan perlindungan di bawah UNHCR, mereka tetap perlu mematuhi undang-undang negara dan tidak boleh bertindak sehingga menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan masyarakat setempat.

“Saya faham dia cuba (mendapatkan) perlindungan di UNHCR, tetapi mereka tidak boleh masuk-masuk kawasan … tidak boleh, ada peraturan di dalam negara ini, kita tak boleh benarkan sehingga mengganggu keselamatan penduduk tempatan,” kata beliau.

Terdahulu ratusan pelarian Rohingya berkampung di hadapan pejabat UNHCR di Jalan Bukit Petaling, di sini, hari ini selepas dilaporkan tiba di ibu negara awal pagi tadi menaiki tiga bas selepas mereka keluar daripada penempatan di Pulau Pinang.
nnnn

FOTO FB Anwar

Related posts

Leave a Comment