Trump ancam kenakan tarif ke atas EU

WASHINGTON – Presiden Donald Trump mengancam mengenakan tarif ke atas Kesatuan Eropah (EU) selepas menuduh blok itu menyasarkan syarikat teknologi utama Amerika Syarikat (AS) secara tidak adil menerusi denda bernilai berbilion dolar.

Dalam hantaran di Truth Social, Trump merujuk penalti yang dikenakan terhadap Apple, Meta, Amazon dan Google.

Menurut Trump, Kesatuan Eropah akan menerima padah yang amat besar atas tindakan yang didakwanya menyalahi undang-undang dan sangat tidak beretika ini.

Trump berkata pentadbirannya akan segera memulakan siasatan mengikut Seksyen 301 terhadap tindakan EU yang disifatkannya sebagai “merompak” syarikat AS dan pembayar cukai negara itu.

Beliau turut berkata penalti yang dikenakan EU “akan dibatalkan sepenuhnya” dan pentadbirannya dijangka mengenakan tarif yang tinggi ke atas blok berkenaan secepat mungkin.

Seksyen 301 Akta Perdagangan AS 1974 memberi kuasa kepada Wakil Perdagangan AS untuk menyiasat amalan perdagangan asing yang dianggap tidak adil atau bersifat diskriminasi dan jika berasas, mengesyorkan tindakan balas termasuk pelaksanaan tarif.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment