Pendakwa raya ICC disingkir

NEW YORK – Sebanyak 82 daripada 125 negara anggota Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengundi memecat Pendakwa Raya, Karim Khan susulan dakwaan beliau melakukan serangan seksual terhadap seorang kakitangan wanita di bawah seliaannya.

Khan, 56, yang digantung tugas bulan lalu oleh badan pentadbiran utama ICC, disingkirkan atas alasan salah laku serius dan pelanggaran serius terhadap tanggungjawab.

Wanita terbabit, seorang peguam warga Malaysia yang pernah menjadi pembantu kanan Khan, menceritakan pengalamannya dalam temu bual bersama CNN minggu lalu.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Sarah mendakwa berlaku peningkatan cubaan gangguan yang akhirnya membawa kepada serangan fizikal.

Tiada cara untuk mengatakan ia berlaku secara sukarela apabila wujud jurang kuasa yang begitu besar.

“Apa yang ramai tidak faham ialah Khan bukan sekadar ketua saya, tetapi ketua kepada semua orang,” katanya.

Sepanjang menerajui ICC, Khan berdepan tekanan politik susulan beberapa kes berprofil tinggi di mana pada 2024, beliau berjaya memperoleh waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, berhubung perang di Gaza.

ICC turut mengeluarkan waran tangkap terhadap beberapa pemimpin kanan Hamas yang kini dilaporkan terbunuh.

Susulan tindakan itu, Khan serta beberapa hakim ICC dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat (AS).

Menurut sumber, hanya 13 negara mengundi supaya Khan dikekalkan sebagai pendakwa raya dalam sesi pengundian sulit yang berlangsung di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.

Seramai 15 negara berkecuali, manakala beberapa negara tidak menghadiri proses pengundian.

Peguam Khan, Tayab Ali, berkata anak guamnya akan mencabar kesahihan dan keadilan keputusan itu melalui semua saluran undang-undang yang tersedia.

ICC yang berpangkalan di The Hague, Belanda pula memaklumkan ia mengambil maklum keputusan negara anggota berhubung pemecatan berkenaan.

Pada Mei 2025, Khan secara sukarela menarik diri daripada menjalankan tugas sebagai pendakwa raya selepas siasatan dilancarkan terhadap dakwaan yang dibuat oleh seorang kakitangan wanita pada tahun sebelumnya.

Khan yang memegang jawatan itu sejak 2021 menafikan sekeras-kerasnya semua dakwaan berkenaan.

Selepas keputusan undian diumumkan, Pengerusi badan pentadbiran ICC, Paivi Kaukoranta, memuji negara anggota atas semangat perpaduan yang ditunjukkan dalam mempertahankan integriti mahkamah itu.

Beliau berkata, proses berkenaan memastikan ICC dapat terus melaksanakan mandatnya demi kepentingan masyarakat antarabangsa dan mangsa jenayah kekejaman di seluruh dunia.

Tayab Ali bagaimanapun berkata, keputusan itu membawa implikasi besar bukan sahaja terhadap Khan, malah kepada kebebasan institusi berkenaan.

Katanya, kebebasan ICC bergantung kepada perlindungan terhadap pegawai yang dipilih daripada disingkirkan melalui proses yang bermotifkan politik, tidak adil dari segi prosedur atau bercanggah dengan penemuan badan kehakiman bebas.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment