SEPANG 19 Julai – Angkatan Muda Harapan (AMH) menggesa semua Menteri dan Timbalan Menteri daripada Barisan Nasional (BN) meletakkan jawatan dalam Kabinet selepas gabungan itu memilih bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Johor dan Negeri Sembilan.
AMH mendakwa tindakan BN menjalinkan kerjasama dengan PN membuktikan parti itu tidak menghargai kepercayaan serta kedudukan yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kepada mereka dalam Kerajaan Perpaduan.
Empat sayap pemuda PH itu turut mendakwa kerjasama terbuka BN dengan PN menunjukkan gabungan itu lebih cenderung membina jajaran politik baharu berbanding mempertahankan Kerajaan Perpaduan.
“AMH menempelak kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang menyatakan secara terbuka bahawa sokongan pengundi kepada calon BN dan PN di peringkat negeri adalah medan uji formula dan berpotensi diterjemahkan pada skala nasional menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Pengakuan Pengerusi BN itu menunjukkan bahawa kerjasama BN-PN tersebut bukan lagi bersifat sementara atau taktikal, sebaliknya adalah persediaan ke arah pembentukan jajaran politik baharu yang menimbulkan persoalan serius terhadap komitmen BN dalam Kerajaan Perpaduan,” kata AMH dalam kenyataan, hari ini.
Kenyataan bersama itu ditandatangani Ketua Penerangan AMH merangkap Naib Ketua Pemuda Amanah, Ammar Atan; Setiausaha Publisiti DAPSY Kebangsaan, Ho Chi Yang; Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin dan Pengarah Biro Komunikasi WARDA, Syazana Nasir.
Menurut AMH, kenyataan sedemikian sedemikian jelas menunjukkan BN tidak lagi menghargai semangat kerjasama bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan, meskipun memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri, beberapa jawatan menteri dan jawatan penting lain dalam kerajaan,” katanya.
AMH berkata, PH sebelum ini tetap memperuntukkan jawatan Exco kepada BN selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 di Pulau Pinang dan Selangor sebagai menghormati semangat Kerajaan Perpaduan, walaupun kedua-dua negeri itu sekian lama diterajui gabungan berkenaan.
Justeru, mereka mempersoalkan tindakan dan komitmen BN yang didakwa berulang kali menguji kesabaran rakan dalam Kerajaan Perpaduan.
“AMH menggesa semua Menteri dan Timbalan Menteri daripada BN meletakkan jawatan dengan segera supaya parti itu dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha memperkukuh kerjasama politik bersama PN tanpa menjejaskan pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
“Langkah berkenaan wajar diambil untuk mengurangkan kekeliruan rakyat terhadap modus operandi BN agar BN boleh menghentikan sikap talam dua muka dan memastikan bahawa formula baharu BN-PN boleh direalisasikan sepenuhnya,” tegas AMH.
AMH percaya rakyat mahukan kerajaan yang memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi, memperkukuh perpaduan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat, bukannya parti yang sentiasa berpolitik atas nama kaum dan agama demi kepentingan sempit.
Rabu lalu, BN mengumumkan 25 daripada 36 calon bagi PRN Negeri Sembilan, manakala PN mengumumkan baki 11 calon keesokan harinya yang terdiri daripada lima wakil PAS, empat Wawasan serta masing-masing seorang daripada Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
Nnnn
