MySejahtera masih relevan

PORT DICKSON 29 Mac – Penggunaan aplikasi MySejahtera tetap relevan bagi tujuan kesihatan awam dan ketika negara berada dalam Fasa Peralihan Endemik, bagi mengesan kontak rapat kes positif Covid-19 bagi tindakan susulan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bagaimanapun berkata, penggunaan aplikasi berkenaan mungkin dimansuhkan dalam masa beberapa bulan lagi, apabila keadaan sudah semakin stabil berdasarkan keputusan KKM.

“Kita belum masuk ke fasa endemik tetapi ke fasa peralihan endemik, nak ke endemik jauh sangat. Kita masih ada ribuan kes jangkitan setiap hari.

“Jadi MySejhetara masih berfungsi untuk beritahu kepada pengguna sekiranya mereka sudah menjadi kontak rapat. Dulu kontak rapat, mereka diminta asingkan diri dan sekarang kontak rapat cuma diminta semak ada gejala atau tidak,” katanya  selepas melawat tapak pembinaan bangunan tambahan di Hospital Port Dickson, di sini, hari ini.

Malaysia akan memasuki Fasa Peralihan Endemik bermula 1 April ini dan ia adalah fasa peralihan untuk negara kembali kepada kehidupan normal selepas rakyat bergelut dengan pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu.

Sementara itu, Khairy meminta Yang Dipertua Dewan Negara untuk membenarkan usul mengenai isu MySejahtera dibahas dalam sidang Dewan Negara Khamis ini.

Khairi berkata, ia susulan terdapat banyak pertikaian mengenai aplikasi berkenaan yang boleh menimbulkan salah faham.

“Saya minta Yang Dipertua Dewan Negara (Dr Rais Yatim) benarkan satu usul berkenaan MySejahtera untuk dibahas Khamis ini yang akan dijawab oleh saya.

“Tiada apa-apa yang saya mahu sembunyikan. Mungkin mereka yang tak tahu tentang benda ini dan tak baca sepenuhnya isu itu terus bangkitkannya,” katanya

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan yang meminta kerajaan menjelaskan dakwaan pembabitan MySJ Sdn Bhd dalam pengambilalihan aplikasi MySejahtera.

Khairy berkata, adalah lebih baik ia dijawab dalam sidang Dewan Negara kerana memahami kebimbangan masyarakat yang data peribadi mereka disalah guna.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelantikan syarikat Kpisoft(M) Sdn Bhd untuk menguruskan aplikasi MySejahtera dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada awal pandemik lagi.

“Saya difahamkan yang MKN jemput beberapa syarikat untuk buat pembentangan. MKN pilih syarikat Kpisoft yang dijenamakan sebagai Entomo Malaysia Sdn Bhd yang kemudian memberi lesen kepada syarikat MySJ Sdn Bhd.

“Jadi kita sudah berunding dengan syarikat yang beri perkhidmatan sejak awal lagi kerana mereka yang membangunkan platform itu,” katanya.

Related posts

Leave a Comment