MT PN digesa bincang kedudukan Bersatu

SEPANG – Naib Presiden Bersatu yang digantung mempersoalkan sama ada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) masih boleh berfungsi dan bermesyuarat secara sah susulan pemecatan, penggantungan, peletakan jawatan dan keluar parti.

Ronald Kiandee dalam kenyataannya berkata, Fasal 13.12 Perlembagaan Bersatu mensyaratkan kehadiran korum melebihi separuh daripada jumlah Ahli MPT.

“Kegagalan membuktikan bahawa syarat korum tersebut masih dipenuhi akan menimbulkan persoalan serius terhadap keabsahan setiap keputusan yang dibuat oleh Majlis Pimpinan Tertinggi,” katanya menerusi Facebook.

Ahli Parlimen Beluran itu turut menyenaraikan sekurang-kurangnya 27 daripada 49 ahli MPT sama ada dipecat, meletak jawatan, digantung dan keluar parti.

Katanya, apabila korum tidak lagi mencukupi, Bersatu berdepan risiko berada dalam keadaan tergantung dari sudut pentadbiran, sekali gus tidak mempunyai keupayaan untuk membuat keputusan yang sah menurut Perlembagaan parti.

Kiandee menyifatkan peletakan jawatan beberapa Ahli MPT merupakan manifestasi jelas bahawa Presiden Bersatu gagal menguruskan krisis dalaman sehingga kehilangan keyakinan sebahagian besar Ahli MPT yang dipimpinnya.

Tegasnya, kemelut dalaman Bersatu adalah amat memalukan dan mungkin hanya boleh diselesaikan melalui campur tangan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) yang akan menjejaskan kedudukan Bersatu sebagai sebuah parti politik.

“Malah berpotensi mengganggu kelancaran pentadbiran serta perancangan strategik Perikatan Nasional (PN) khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Negeri Sembilan yang akan datang,” katanya.

Justeru, Majlis Tertinggi PN wajar bermesyuarat dengan kadar segera bagi menilai kedudukan semasa Bersatu dalam gabungan itu serta mempertimbangkan langkah-langkah yang perlu demi memastikan kestabilan, kredibiliti dan kesiapsiagaan PN  tidak terjejas akibat krisis dalaman sebuah parti komponen.

“Kepentingan Perikatan Nasional sebagai sebuah gabungan politik yang menjadi harapan jutaan rakyat Malaysia mesti mengatasi kepentingan mana-mana individu.

Krisis yang berlarutan tanpa penyelesaian hanya akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kemampuan gabungan ini untuk menawarkan kepimpinan yang stabil, berintegriti dan berwibawa,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment