NAIROBI – Sudan Selatan menolak dakwaan kononnya mengadakan rundingan dengan Israel berhubung penempatan semula rakyat Palestin dari Gaza yang dilanda perang, kata Kementerian Luar Sudan Selatan.
Dalam kenyataannya, Kementerian Luar menyifatkan dakwaan tidak berasas itu tidak mencerminkan pendirian atau dasar rasmi kerajaan Republik Sudan Selatan.
Sebuah agensi berita memetik enam individu yang mengetahui perkara itu melaporkan bahawa Israel sedang berbincang dengan Sudan Selatan untuk menempatkan semula rakyat Palestin dari Gaza di negara Afrika Timur itu.
“Tentera Israel telah mengebom Bandaraya Gaza dalam beberapa hari kebelakangan ini menjelang rancangan pengambilalihan wilayah yang musnah itu, yang merupakan tempat tinggal lebih dua juta rakyat Palestin.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu semalam mengulangi pandangan yang yang turut disokong kuat oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bahawa rakyat Palestin sepatutnya meninggalkan Gaza.
Ramai pemimpin dunia mengecam idea memindahkan penduduk Gaza, yang menurut rakyat Palestin akan menjadi satu lagi “Nakba” (malapetaka) seperti pada 1948 apabila ratusan ribu orang melarikan diri atau dipaksa keluar semasa perang Arab-Israel.
Mac lalu, Somalia dan wilayahnya yang memisahkan diri, Somaliland, turut menafikan menerima sebarang cadangan daripada AS atau Israel untuk menempatkan semula rakyat Palestin dari Gaza, dengan Mogadishu menegaskan pihaknya menolak sepenuhnya sebarang langkah sedemikian.
Menteri Luar Sudan Selatan, Monday Semaya Kumba, bulan lalu telah melawat Israel dan bertemu dengan Netanyahu, menurut kementerian itu.
Bulan lalu juga, kerajaan Sudan Selatan mengesahkan bahawa lapan migran yang dihantar pulang ke negara Afrika itu oleh pentadbiran Trump kini berada dalam jagaan pihak berkuasa di Juba selepas mereka kalah dalam usaha undang-undang untuk menghalang pemindahan tersebut.
Nnnn
