KUCHING 11 Julai – Pendekatan paling berkesan dalam menangani ancaman ajaran sesat, keselamatan, perkauman serta isu berkaitan agama di negara ini adalah melalui Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang kini dimansuhkan.
Demikian pandangan Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay ketika ditemui pada Seminar Kelestarian Pemikiran Islam Nusantara Tahun 2026 di Hikmah Exchange & Event Centre, di sini, hari ini.
Beliau berkata, selepas ISA dimansuhkan, usaha membanteras ajaran sesat menjadi lebih sukar kerana tindakan penguatkuasaan perlu melalui proses dan bidang kuasa agensi berkaitan termasuk Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).
Katanya, ketika ISA masih berkuat kuasa, pihak berkuasa tidak perlu menunggu tindakan JAIN sekiranya sesuatu fahaman atau ajaran dikenal pasti mengancam keselamatan negara, perpaduan kaum atau bercanggah dengan keputusan Majlis Fatwa.
“Mana-mana ajaran sesat yang boleh mengancam keselamatan, mengancam perpaduan kaum dan bertentangan dengan fatwa, kita boleh mengambil tindakan segera serta melaksanakan program pemulihan terhadap individu yang terbabit,” katanya.
Beliau antara penceramah pada seminar yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Ayob Khan berkata, berdasarkan pengalaman lampau, individu yang ditahan mengikut ISA pernah mengikuti program pemulihan, termasuk menjalani proses rehabilitasi selama tempoh penahanan, sekali gus membantu membendung penyebaran fahaman yang menyeleweng.
Berdasarkan pengalamannya, ISA adalah undang-undang yang amat berkesan untuk menangani isu keselamatan, perkauman, agama, ajaran sesat serta isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R).
“Pada pandangan saya…. bukan cadangan ya, ISA perlu diwujudkan semula, itu yang penting kerana undang-undang itu terbukti berkesan dalam menangani ancaman terhadap keselamatan dan keharmonian negara,” katanya.
Mengulas mengenai ciri-ciri kumpulan yang membawa ajaran sesat, beliau berkata golongan terbabit lazimnya menolak pandangan ulama, mentafsir ayat al-Quran mengikut fahaman sendiri serta tidak menerima fatwa yang dikeluarkan oleh jabatan mufti negeri.
Justeru JAIN perlu memainkan peranan lebih aktif dalam memberi penerangan yang jelas kepada masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan fahaman yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Waljamaah.
Sementara itu, beliau memberitahu, polis dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus memperhebat pemantauan terhadap penyebaran fahaman ekstrem dan ajaran sesat yang kini lebih banyak dilakukan menerusi media sosial, blog serta pelbagai platform dalam talian.
Beliau berkata, jika pihak berkuasa memperoleh bukti atau maklumat mengenai kegiatan merekrut pengikut atau penyebaran fahaman berbahaya, tindakan pencegahan awal akan diambil.
Bagaimanapun, beliau mengakui ketika ini tiada peruntukan undang-undang yang boleh memaksa pengamal ajaran sesat mengikuti program pemulihan seperti yang pernah dilaksanakan mengikut ISA.
Nnn
