Tanah kubur di Semenyih dirancang sejak 2005

SEPANG 8 Julai – Projek Pembangunan Tapak Perkuburan Islam Wilayah Persekutuan di Hulu Semenyih, Selangor telah dirancang sejak 2005 bagi menangani kekurangan tapak perkuburan Islam di Kuala Lumpur selain mengurangkan kesesakan lalu lintas di Semenyih.

Selain memenuhi keperluan warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), projek itu turut memberi manfaat kepada komuniti setempat apabila 10 peratus daripada kapasiti tapak perkuburan diperuntukkan bagi tujuan pengebumian penduduk sekitar di Selangor.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh menerusi hantaran di Facebooknya menjelaskan demikian susulan kekeliruan yang tular di media sosial berhubung projek berkenaan.

Beliau berkata, kapasiti tanah perkuburan Islam sedia ada di WPKL telah melebihi 70 peratus penggunaan dan setakat Jun 2023, hanya kira-kira 29 peratus atau 34,496 lot masih berbaki dan dijangka hanya mampu menampung keperluan sehingga sekitar 2032. 

“Justeru, penyediaan tapak perkuburan baharu merupakan keperluan mendesak bagi menjamin kebajikan umat Islam pada masa hadapan,” katanya. 

Beliau berkata projek itu dilaksanakan menerusi kerjasama awam swasta di atas tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan seluas 332.6 ekar.

Katanya, sebagai sebahagian daripada perjanjian, pemaju akan menanggung sepenuhnya kos penyediaan infrastruktur termasuk kuarters, surau, pejabat pentadbiran, kafeteria, tandas, rumah pengawal serta kerja-kerja tanah bagi 104,470 plot kubur Islam WPKL.

Hannah berkata tanah tapak projek itu kekal milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan manakala pengurusan, pentadbiran dan operasi tapak perkuburan Islam berkenaan kekal di bawah bidang kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan bukannya diuruskan mana-mana syarikat.

Mengenai pembinaan jalan pintas dari Jalan Sungai Lalang ke Lebuhraya SILK pula, beliau berkata kos keseluruhan projek berjumlah RM93.89 juta tidak ditanggung kerajaan, sebaliknya dibiayai pemaju sebagai syarat pembangunan yang ditetapkan Kerajaan Negeri Selangor.

Beliau berkata jalan pintas sepanjang 4.3 kilometer itu SILK dibina bagi mengatasi kesesakan trafik sekali gus menyediakan laluan alternatif yang lebih lancar kepada penduduk setempat.

Hannah juga menegaskan bahawa projek ini telah melalui penilaian teknikal, penarafan nilai (Value Management Lab) serta proses kelulusan kerajaan negeri dan Persekutuan.

Katanya, setiap keputusan dibuat adalah berlandaskan kepentingan awam bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara, di samping menyediakan kemudahan asas yang lebih baik untuk generasi akan datang.

Justeru laporan polis telah dibuat bagi mengekang penyebaran maklumat tidak sahih.

Terdahulu Hannah  menyelar tindakan aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard dan Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim yang mempolitikkan isu tanah perkuburan Islam di Semenyih, Selangor.

Hannah berkata, isu tanah perkuburan tidak sepatutnya dipolitikkan kerana ia adalah satu keperluan dan kewajipan kerajaan terhadap rakyat.

Chegubard dan Ghulam masing-masing mengeluarkan kenyataan di media sosial masing-masing mengenai isu tanah perkuburan Islam di Semenyih.

Chegubard mendakwa sebuah syarikat mengurus pengebumian bukan Islam mendapat hak bersama Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) untuk perjanjian urus tapak perkuburan Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, Gulam mendakwa projek tanah perkuburan berkenaan akan diswastakan kepada syarikat luar yang didakwa mengakibatkan peningkatan kos pengebumian.

Nnn

Related posts

Leave a Comment