KUALA LUMPUR 19 Julai – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, sepatutnya dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan terlebih dahulu sebelum menggantung beliau daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat.
Bekas Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berkata,melalui jawatankuasa berkenaan, Wan Ahmad Fayhsal akan mempunyai ruang untuk mempertahankan diri berhubung tindakannya yang membawa kepada penggantungan terbabit.
Beliau berkata, penggantungan di Dewan Rakyat bukan suatu perkara baharu tetapi keputusan kali ini terhadap Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) itu dilihat ada masalah penafian bagi ruang keadilan.
“Bukannya tidak pernah berlaku penggantungan oleh Majlis dalam Dewan tetapi (bagi kes sebelum ini) ia adalah atas sebab tertentu, contohnya degil tidak mahu mengikut arahan dan menghina Speaker.
“Dalam kes ini (Wan Ahmad Fayhsal), perbahasan sudah berlangsung dan biasanya apa yang sepatut dibuat ialah Ahli Parlimen dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.
“Ini kerana dalam jawatankuasa itu, diberi hak mempertahankan diri. Dalam kes ini, memang ada masalah dari segi penafian bagi ruang keadilan,” katanya pada sidang media Larian #KeluargaMalaysia 2024, di sini, hari ini.
Wan Ahmad Fayhsal digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan bermula semalam, susulan dakwaannya mengenai surat layang dikatakan mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Keputusan itu diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul, selepas usul berkenaan mendapat sokongan majoriti dalam undi belah bahagi, dengan 110 Ahli Parlimen bersetuju, 63 tidak bersetuju, tiga tidak mengundi dan 46 tidak hadir.
Terdahulu, usul berhubung penggantungan Wan Ahmad Fayhsal itu dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said.
Usul itu dibahaskan oleh Hamzah Zainudin (PN-Larut) serta Azli Yusof (PH-Shah Alam) sambil dicelah beberapa Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Dalam pada itu, Khairy berkata, beliau turut mendengar ulasan penggulungan Azalina mengenai betapa seriusnya tuduhan yang dibuat oleh Wan Ahmad Fayhsal.
“Namun walau apapun, kita boleh bahas dalam jawatankuasa kerana itulah fungsi ia ditubuhkan supaya Ahli Parlimen ada hak untuk membela diri.
“Katalah kamu dituduh membuat satu kesalahan, adil atau tidak kalau dipecat (digantung) begitu saja? Saya rasa tidak adil sebab semua ada hak untuk membela diri.
“Perbahasan semalam pun 1-1, iaitu mewakili pembangkang dan kerajaan, dan benda itu pun kita sudah tahu jawapan,” katanya.
Nnn
