Azmin akhirnya sertai Bersatu

SELEPAS ‘bebas’ tanpa parti setelah meninggalkan PKR bagi membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) akhirnya Menteri Kanan Mohamed Azmin Ali serta sepuluh lagi Ahli Parlimen mengumumkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pengumuman itu dibuat di hadapan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dan 5,000 perwakilan pada majlis Kongres Negara 2020 bertemakan Bersatu Untuk Malaysia di ibu negara, hari ini, Sabtu 22 Ogos 2020.

Turut menyertai beliau ialah pimpinan kanan Penggerak Komuniti Negara, NOW, Pemuda Negara, dan Wanita Muda Negara.

“Dengan penuh rasa ikhlas dan hati yang tulus, pada petang yang keramat ini, saya dan ketumbukan dari Perlis hingga ke Sabah, sama ada Penggerak Komuniti Negara, Nation of Women (NOW), Pemuda Negara, Wanita Muda Negara, dengan ini mengisytiharkan untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menyokong kepimpinan Yang Amat Berhormat Tan Sri (Muhyiddin Yassin) sebagai Perdana Menteri,” katanya lagi.

Beliau serta rakan-rakannya, turut menerima kad keahlian dari Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu, menandakan keahlian mereka adalah rasmi dengan serta-merta.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri menganggap peristiwa itu bukan sahaja bersejarah untuk dirinya, tetapi juga kepada Bersatu, dan Kerajaan Perikatan Nasional.

“(Peristiwa ini) bukan sahaja sejarah untuk saya, tapi juga untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia, apabila Azmin telah nyatakan dan berikrar untuk secara rasmi menjadi ahli kepada parti Bersatu yang saya pimpin hari ini.

“Terima kasih, dan tahniah saya ucapkan kepada beliau dan rakan rakan lain yang turut bersama sama , menyatakan keazaman dan tekad untuk sertai suatu gerakan politik yang agak penting dalam negara kita. iaitu parti Bersatu,” katanya lagi

Related posts

Leave a Comment