Thailand catat peningkatan kes

BANGKOK 5 Nov. – Jumlah kes jangkitan Covid-19 meningkat sedikit hari ini apabila merekodkan 8,148 kes berbanding 7,982 semalam menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 1,951,572 kes.

Dalam tempoh yang sama, sebanyak 80 lagi individu meninggal dunia berbanding 68 semalam yang membawa kepada jumlah keseluruhan 19,542.

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), wilayah Selatan mendahului rekod kematian harian dengan 23 orang di mana Nakhon Si Thammarat merekodkan enam kematian dan masing-masing tiga di Trang dan Pattani.

Enam wilayah di selatan juga antara 10 wilayah yang merekodkan kes jangkitan tertinggi yang didahului Bangkok dengan 721 kes.

Songkhla merekodkan 498 kes diikuti Pattani 498, Yala 375, Nakhon Si Thammarat 294, Narathiwat 213 dan Trang 205.

Sebanyak 15 kes import melibatkan 10 negara iaitu dari India, Mesir , Emiriyah Arab Bersatu, Nigeria, Jerman , Malaysia, United Kingdom, Australia, Rusia dan Amerika Syarikat.

Pada Khamis, sebanyak 8,238 pesakit Covid-19 dilaporkan sembuh dan dibenarkan keluar hospital manakala 97,300 orang menerima rawatan di hospital termasuk 2,118 pesakit yang kritikal dan 461 bergantung kepada ventilator.

Related posts

Leave a Comment