TELUK INTAN 14 Mei – Pemandu lori yang terbabit dalam kemalangan yang meragut nyawa sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Kilometer 15 Jalan Sungai Manik-Sungai Lampam di sini, semalam direman empat hari mulai hari ini.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 45 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Naidatul Athirah Azman selepas permohonan dibuat oleh Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin.
Naidatul Athirah membenarkan perintah reman empat hari bermula hari ini hingga Sabtu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.
Terdahulu, lelaki berusia 45 tahun itu dihadapkan ke mahkamah pada kira-kira pukul 8.50 pagi dengan berpakaian kemeja hitam dan seluar trek.
Sementara itu, Bakri berkata, pihaknya akan meneruskan siasatan melihat dari sudut aspek kecuaian manusia, isu-isu teknikal dan juga isu persekitaran yang boleh membantu siasatan.
Beliau berkata, berdasarkan pemantauannya melalui media sosial, beliau mendapati
ramai saksi awam yang melihat kejadian sebelum dan semasa kejadian.
Justeru, beliau meminta masyarakat untuk membantu, menyalurkan maklumat yang boleh membantu siasatan dengan menghubungi beliau sendiri di talian 017-8211326 atau tampil ke IPD Hilir Perak.
Sementara itu, lapan lagi anggota FRU kini menerima rawatan di Hospital Teluk Intan, manakala seorang lagi dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.
Nnnn
