10 negara berisiko wabak Ebola

KIGALI – Sepuluh negara kini dikategorikan sebagai berisiko tinggi penularan wabak Ebola susulan jumlah kematian meningkat kepada 204 orang di Republik Demokratik Congo (DRC).

Selain DRC, negara tersebut adalah Rwanda, Kenya, Tanzania, Angola, Burundi, Republik Afrika Tengah, Ethiopia, Sudan Selatan dan Zambia.

Kementerian Kesihatan DRC, dalam satu kenyataan memaklumkan, jumlah kematian baharu itu yang direkodkan di tiga wilayah, membabitkan sebanyak 867 kes disyaki.

Jumlah itu meningkat berbanding data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kelmarin yang mencatatkan 177 kematian daripada 750 kes disyaki.

Lonjakan kes itu mendorong WHO mengisytiharkan wabak berjangkit itu sebagai darurat antarabangsa dan menaikkan tahap amaran kepada sangat tinggi.

Ketua Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (Africa CDC), Jean Kaseya, berkata faktor mobiliti penduduk yang tinggi dan masalah ancaman keselamatan di rantau itu menjadi punca utama wabak itu merebak dengan pantas.

Susulan ancaman global itu, Africa CDC bersama WHO mengumumkan rayuan dana kecemasan melebihi AS$314 juta (kira-kira RM1.4 bilion) bagi membiayai pelbagai intervensi dan tindakan balas segera.

Sebahagian besar peruntukan akan disalurkan kepada Congo dan Uganda untuk tujuan rawatan, pemantauan serta pencegahan sementara, baki sebanyak AS$54 juta (kira-kira RM240 juta) pula akan dikongsi oleh 10 negara berisiko tinggi terbabit.

Di Uganda, Kementerian Kesihatan negara itu mengumumkan tiga kes baharu semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang disahkan meningkat kepada lima kes sejak ia mula dikesan pada 15 Mei lalu. Setakat ini, satu kematian direkodkan di negara Afrika Timur itu.

Ebola adalah penyakit virus maut yang merebak melalui sentuhan langsung dengan cecair badan mangsa yang dijangkiti dan boleh menyebabkan pendarahan teruk serta kegagalan fungsi organ.

Related posts

Leave a Comment