Mengeteh juga punca penularan kes

KUALA TERENGGANU 10 April – Daerah Besut bertukar menjadi zon merah hari ini apabila merekodkan pertambahan 24 kes positif Covid-19 bagi Kluster Belaoh menjadikan jumlah keseluruhan 49 kes direkodkan kluster itu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata kluster yang bermula di Kampung Bela Oh di Besut itu berpunca daripada rutin penduduk yang suka ‘mengeteh’ di kedai-kedai kopi selepas selesai menunaikan solat di masjid dan surau tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Sekelip mata daerah Besut bertukar (status) merah. Bayangkan jika kita tidak laksanakan PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan) di kawasan tersebut. Kemungkinan akan berlaku kluster yang besar di daerah Besut akibat pergerakan bebas kes positif yang ramai tu,” katanya dalam hantaran yang dimuat naik di laman Facebooknya hari ini.

Beliau amat mengharapkan penduduk menghargai pengorbanan pasukan petugas kesihatan dengan mematuhi SOP terutama pada bulan Ramadan ini.

Semalam dalam catatan di FBnya, beliau yang merujuk Kluster Kampung Belaoh berkata , selalunya majlis keramaian seperti kenduri kendara, majlis tahlil, majlis hari jadi dan pelbagai majlis lagi akan dikaitkan dengan kewujudan kluster baharu.

“Suasana di Kg sangat berbeza di bandar. Sunyi dan sepi persekitaran. Rumah pun jarang2. Internet pun tak ada. Tapi kenapa boleh berlaku kluster besar di sini.

“Rupanya situasi di Kg ada kelainan. Selain dari majlis yang disebutkan tadi, rupanya mereka ada aktiviti sosial lain yang boleh dikatakan rutin untuk penduduk Kg. Mengeteh di kedai kopi selepas solat.

“Kebiasaannya bila ke masjid dan surau rata rata patuh SOP. Tapi keluar masjid jadi lain. Mengeteh kedai kopi menjadi satu rutin. Lepas asor minum air kedai Pok Leh (nama samaran). Lepas isyak minum air kedai Pok Soh pulak (nama samaran). Begitulah.

“Di mana2 Kg traditional pergerakan dari satu Kg ke Kg adalah bebas dan luas sebab kedudukan Kg rapat2. Lagi pun anok beranok warih waroh belaka.

“Penularan di bandar besar berbeza dengan di Kg. Tapi risiko penularan sama jika perkumpulan masih ramai biar pun tak rasmi. Mengopi kedai kopi atau duduk sembang2 atas GERE pun semua berisiko andai perjumpaan lama dan ramai orang. Apa lagi jemaahnya sama sahaja.

“Bila ianya satu rutin dan tanpa pematuhan SOP makanya tempat begitu bakal menjadi pusat penyebaran virus Covid 19. Bila mereka ini positif mereka balik menularkan kepada ahli keluarga pulak.

“Hari ini juga satu kes impot B (sebelum ini) telah menjangkiti 5 ahli keluarga yang lain. Kontak rapat kes positif negeri lain telah menjangkiti 7 ahli keluarga yang lain. Sampai bila begini😒,”

Related posts

Leave a Comment