KUALA LUMPUR 16 Nov. – Parti Bersama Malaysia (Bersama) menolak ‘politik identiti’ yang ketika ini semakin ‘membara’ apabila pengundi Melayu bersatu bawah payung UMNO dan Pas, manakala pengundi bukan Melayu pula bergabung bawah DAP.
Pemimpin Bersama, Rafizi Ramli, berkata meskipun UMNO dan Pas serta DAP sedang ‘menunggang’ gelombang politik identiti berkenaan, Bersama tidak gentar melawan mereka dalam spektrum politik masing-masing.
Bekas Timbalan Presiden PKR itu berkata, Bersama percaya untuk melawan politik identiti di kedua-dua spektrum, pihaknya perlu berani bermula dengan membina kekuatan sedikit demi sedikit bagi memadamkan api besar politik identiti itu.
“UMNO dan Pas memerlukan DAP untuk menakut-nakutkan pengundi Melayu, manakala DAP memerlukan UMNO dan Pas untuk menjadi pembela kepada pengundi bukan Melayu,” dakwanya dalam satu perkongsian video melalui media sosial, malam tadi.
Katanya, bagi mereka yang mempersoalkan strategi Bersama, pihak parti tahu ia misi yang berbahaya tetapi yakin ia adalah satu keperluan untuk masyarakat.
“Kami bukanlah UMNO dan Pas yang menjadikan DAP musuh utama tetapi tidak pernah berani berdepan dengan DAP di kubu kuat mereka. Begitu juga DAP yang menjadikan UMNO dan Pas sebagai musuh utama tetapi menghantar PKR serta Amanah untuk berdepan parti berkenaan.
Rafizi turut mendakwa bahawa parti politik lain termasuk PKR, Amanah dan Parti Wawasan Negara (Wawasan), sebenarnya hanya menumpang kepada kekuatan politik identiti, iaitu kelompok Melayu serta bukan Melayu.
“Lebih kuat pengundi Melayu bergabung bawah UMNO dan Pas, maka lebih tegar pengundi bukan Melayu akan menguatkan DAP. Ini menghasilkan kitaran yang semakin menjauhkan sesama kita pada masa akan datang,” katanya.
Beliau mendakwa bahawa kitaran politik yang memberi kuasa terlalu kuat kepada politik identiti sedemikian juga menjadi punca kepada skandal besar negara sebelum ini.
“Semua skandal besar negara berlaku selepas UMNO menang dalam pilihan raya. Nampaknya, kitaran ini akan berulang kembali,” katanya.
Rafizi menegaskan, pada peringkat permulaan ini, Bersama tidak pernah bermimpi untuk membentuk kerajaan atau menang besar dalam pilihan raya.
“Kami bukan PKR yang ditubuhkan untuk menjadi ‘lebuh raya’ mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, atau Amanah sebagai landasan kepada bekas pimpinan Pas atau Bersatu, Wawasan serta parti politik lain yang sibuk mencari rakan kerjasama ke Putrajaya tanpa membina kekuatan sendiri terlebih dahulu,” katanya.
Rafizi menegaskan Bersama diwujudkan untuk menjadi ‘pendinding’ kepada ‘api’ politik identiti itu yang didakwa mengajar rakyat menerima rasuah, kelemahan pentadbiran, politik persembahan seterusnya merendahkan standard ukuran politik sepatutnya.
Sabtu lalu, pada pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Melaka ke-16, daripada 16 calon Bersama, hanya seorang berjaya mengekalkan wang deposit, manakala yang lan kehilangan deposit.
Calon Bersama di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, Dr Muhammad Solehin Saleh, memperoleh 4,140 undi, sekali gus menjadi satu-satunya calon parti itu yang berjaya mengekalkan wang deposit.
Nnnnn
