KUALA LUMPUR 30 Mei – Parti Keadilan Rakyat PKR mengesahkan Iswardy Morni yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini merupakan ahli parti itu, kata Pengarah Komunikasi Keadilan, Fahmi Fadzil.
Bagaimanapun katanya kenyataan Iswardy itu tidak mewakili pendirian parti yang sentiasa menjunjung serta mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu.
Iswardy, 45 seorang anggota biasa parti berdaftar di cabang Petra Jaya, Sarawak dan tidak memegang apa-apa jawatan di dalam hierarki kepemimpinan Keadilan Sarawak mahupun Pusat.
Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan berbaur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Dev Kumar berkata, Iswardy diberkas di rumahnya di Kajang kira-kira pukul 11 malam Sabtu.
“Dia ditahan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman. Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Sekyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Iswardy yang diremah dua hari mulai hari ini memuat naik video secara langsung bertajuk ‘Total Lockdown: Apa Yang Kerajaan Gagal Belajar Dalam Setahun’ di Youtube rasmi miliknya.
Dalam video tersebut, Iswardy mengeluarkan kenyataan kesat terhadap Al-Sultan Abdullah dan mendakwa Yang di-Pertuan Agong seakan-akan tidak bertindak terhadap peningkatan kes Covid-19 di negara ini.
Sementara itu Fahmi berkata, ucapan beliau di dalam video-video sebelum ini pernah dibangkit dan dibincang di dalam Biro Politik Keadilan, dan keputusan telah diambil seawal April lalu dengan memberi amaran keras kepada beliau.
“Parti juga telah memberi amaran tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk memecat beliau sekiranya beliau mengulangi perbuatan yang sama,” jelas Fahmi dalam kenyataan tersebut.
Bagaimanapun, jelasnya lagi, Parti Keadilan menunggu hasil siasatan Polis Diraja Malaysia untuk menentukan tindakan selanjutnya ke atas individu tersebut.
