TEHRAN – Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Seyyed Mojtaba Hosseini Khamenei, berkata, pengurusan Selat Hormuz akan memasuki ‘fasa baharu’, tetapi tidak memberi sebarangan perincian.
Dalam perutusan pada hari ke-40 sejak pembunuhan bapanya yang juga bekas Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, beliau juga menegaskan Tehran akan menuntut pampasan untuk semua kerugian berkaitan perang.
Menurut perutusan itu, pemergian Ali disifatkan sebagai tamparan hebat kepada rakyat Iran, selain merupakan antara detik paling menyakitkan dalam sejarah mutakhir negara berkenaan.
Perutusan itu turut menggambarkan fasa semasa sebagai kesinambungan perjuangan dan legasi bapa Mojtaba.
“Kami sama sekali tidak akan membiarkan penceroboh yang menyerang negara kami, terlepas tanpa hukuman,” katanya.
Beliau menekankan bahawa Iran akan ‘menuntut pampasan bagi semua kerosakan, termasuk darah mereka yang syahid dan cedera.’
Kenyataan itu dibuat ketika Iran bersiap sedia untuk berunding dengan Amerika Syarikat (AS) di Pakistan, yang dijangka bermula esok bawah pengantaraan Pakistan.
Menurut Iran, rundingan itu bertujuan memuktamadkan butiran perjanjian yang berpotensi dimeterai, sambil menegaskan ia tidak bermakna konflik telah berakhir.
Dalam pada itu, Mojtaba turut memberi amaran bahawa Iran kekal bersedia untuk bertindak balas terhadap sebarang pencerobohan baharu.
“Tangan kami tetap berada di picu,” katanya sambil berikrar sebarang kesilapan oleh pihak lawan akan dibalas dengan tindak balas tegas.
Nnnn
