Trump dakwa Iran tidak cekap urus selat

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengingatkan Iran supaya tidak mengenakan bayaran kepada kapal tangki yang melalui Selat Hormuz, sambil menuduh negara itu ‘tidak cekap’ dalam menguruskan laluan minyak selat itu.

Dalam siri hantaran media sosial, Trump juga mendakwa Iran melanggar syarat perjanjian gencatan senjata dua minggu mereka.

“Iran sedang melakukan kerja yang sangat buruk, sesetengah pihak akan mengatakannya sebagai tidak bermaruah, dalam (isu) membenarkan minyak melalui Selat Hormuz,” kata Trump di platform Truth Social miliknya.

Iran dan AS menyatakan bahawa selat sepanjang 167 kilometer (km) antara Teluk dan Lautan Hindi itu akan dibuka semula selepas gencatan senjata dua minggu diumumkan pada Selasa.

Namun, hanya 10 buah kapal melaluinya sejak gencatan senjata perang Asia Barat itu berkuat kuasa, menurut data pengesanan maritim.

Ketegangan semakin memuncak selepas Iran mencadangkan pengenaan tol ke atas kapal walaupun Trump pernah membuat cadangan sama, malah mengesyorkan melakukannya bersama Tehran.

“Terdapat laporan bahawa Iran mengenakan bayaran kepada kapal tangki yang melalui Selat Hormuz, Mereka lebih baik jangan berbuat demikian dan, jika ya, mereka lebih baik berhenti sekarang!” kata Trump.

Dalam satu lagi hantaran, beliau meluahkan kemarahan terhadap editorial media yang kritikal mengenai gencatan senjata itu.

Nada pemimpin AS itu kelihatan semakin keras berbanding komen terdahulu kepada NBC News di mana beliau menyatakan sangat optimis mengenai perjanjian damai dengan Iran selepas gencatan senjata mereka, dan Israel sedang mengurangkan serangan di Lubnan.

Trump memberitahu penyiar AS itu dalam satu temu bual telefon bahawa pemimpin Iran jauh lebih munasabah secara peribadi tetapi menambah bahawa, jika mereka tidak mencapai persetujuan, ia akan menjadi sangat menyakitkan.

Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, bersetuju dalam panggilan telefon dengan Trump pada Rabu untuk bertenang dengan Lubnan selepas serangan besar-besaran.

Seorang pegawai Jabatan Negara AS berkata, Israel dan Lubnan akan mengadakan rundingan di Washington minggu depan.

Nnn

Related posts

Leave a Comment