Malaysia pantau 6 kapal kandas

REMBAU. 9 April – Malaysia akan terus memantau pergerakan enam kapal negara yang masih terkandas di Selat Hormuz susulan perkembangan terkini situasi serantau di Iran, kata Menteri Luar, Mohamad Hasan.

Beliau berkata setakat ini hanya satu kapal berjaya keluar ke perairan antarabangsa berkenaan dengan selamat.

“Setakat ini hanya satu kapal selamat keluar dan kini menuju kilang penapisan minyak di Pengerang, Johor… ada enam lagi terkandas, kita tengok macam mana dan akan terus memantau,” katanya kepada media di sini, petang ini.

Mohamad berkata, enam kapal milik Malaysia yang masih terkandas di Selat Hormuz dijangka dibenarkan melalui laluan strategik itu secara berperingkat oleh kerajaan Iran.

Terdahulu, sebuah kapal milik Malaysia dilaporkan berjaya keluar dari Selat Hormuz memuatkan kira-kira satu juta tong minyak mentah Basrah Heavy dan ia dijangka berlabuh di Pengerang, Johor bulan ini untuk proses pemunggahan.

Kapal disewa oleh Petco, unit kepada Petroliam Nasional Berhad (Petronas) itu antara tujuh kapal Malaysia yang diberikan kebenaran melalui selat berkenaan.

Ditanya mengenai sindiran halus bekas Ahli Parlimen Dilantik (NMP) Singapura, Calvin Cheng kerana Malaysia berunding dengan Iran bagi mendapatkan laluan selamat di Selat Hormuz, Mohamad berkata setiap negara yang merdeka mempunyai kepentingan strategik mengikut keutamaan masing-masing, begitu juga Malaysia.

“Saya tak mahu komen panjang tentang itu, komen negara sendiri, jangan komen negara orang. Kita ada punya dasar luar dan semua negara yang merdeka berdaulat ada dasar luar masing-masing,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment