WASHINGTON – Ketika Iran mengisytiharkan kemenangan, Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt memuji gencatan senjata selama dua minggu dalam perang Iran, menggelarnya sebagai “kemenangan” untuk Amerika Syarikat (AS).
“Ini adalah kemenangan untuk AS yang dijayakan oleh Presiden Trump dan tentera kita yang luar biasa.
“Kejayaan tentera kita mewujudkan pengaruh maksimum, membolehkan Presiden Trump dan pasukannya terbabit dalam rundingan sukar yang kini mewujudkan pembukaan untuk penyelesaian diplomatik dan keamanan jangka panjang.” tulis Leavitt menerusi X.
Terdahulu di ISLAMABAD, Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, mengesahkan
AS, Iran dan sekutu negara berkenaan bersetuju untuk gencatan senjata membabitkan semua kawasan termasuk Lubnan.
“Saya gembira mengumumkan Republik Islam Iran dan AS bersama sekutu mereka telah bersetuju untuk gencatan senjata segera di semua kawasan termasuk Lubnan dan lain-lain, berkuatkuasa serta-merta,” katanya di platform X.
Tambah beliau, Islamabad pada Jumaat ini akan menyambut delegasi dari kedua-dua negara untuk mengadakan rundingan bagi mencapai ‘perjanjian muktamad’.
