Sunway gagal ambil alih IJM

SEPANG 6 April – Sunway Berhad (Sunway) gagal mengambil alih IJM Corp Bhd (IJM);selepas hanya berjaya memperoleh 1.17 bilion saham IJM, mewakili 33.43 peratus daripada jumlah keseluruhan saham berhak mengundi.

Pemegang saham IJM menolak tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat oleh Sunway ke atas semua saham biasanya selepas tempoh penerimaan ditutup pada pukul 5 petang tadi, 6 April.

Maybank Investment Bank Berhad (Maybank IB) dalam makluman di Bursa Malaysia mengesahkan perkara itu berikutan kegagalan memenuhi syarat penerimaan.

Menurutnya, Sunway tidak menerima penerimaan sah yang mencukupi untuk membolehkan pegangan melebihi 50 peratus saham mengundi dalam IJM.

“Sehingga pukul 5 petang pada tarikh tutup, Sunway menerima penerimaan sah yang menyebabkan pegangan sebanyak 1.17 bilion saham IJM atau 33.43 peratus daripada jumlah saham mengundi.

“Bagaimanapun, jumlah itu tidak memenuhi syarat penerimaan yang ditetapkan iaitu melebihi 50 peratus pegangan saham mengundi,” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, tawaran berkenaan luput dan tidak lagi boleh diterima, manakala semua penerimaan akan dipulangkan kepada pemegang saham dan pihak penawar tidak lagi terikat dengan sebarang penerimaan terdahulu.

Tawaran yang diumumkan pada 12 Januari 2026 pada harga RM3.15 sesaham itu gagal mencapai tahap penerimaan diperlukan, iaitu lebih daripada 50 peratus saham dengan hak undian IJM. 

Sementara itu, IJM dalam kenyataan berkata, Lembaga Pengarah berdasarkan penilaian Penasihat Bebas sebelum ini, telah memutuskan bahawa tawaran berkenaan tidak adil dan tidak munasabah, serta mengesyorkan pemegang saham untuk menolaknya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan merangkap Pengarah Urusan IJM, Datuk Lee Chun Fai berkata, dengan tamatnya tawaran ini, IJM akan terus melangkah ke hadapan dengan tekad, melaksanakan strategi yang dipertingkatkan bagi menjana nilai daripada portfolio merentasi perniagaan teras Kumpulan. 

“Keutamaan kami kini kekal pada pelaksanaan serta membuka potensi nilai portfolio yang telah dibina.

“IJM sentiasa dan kekal sebagai syarikat yang kukuh dari segi asas, dengan strategi yang jelas serta saluran projek yang berdaya tahan. Pemegang saham telah membuat keputusan mereka, dan kami menghormati keyakinan yang diberikan terhadap nilai intrinsik jangka panjang IJM,” katanya.

Katanya, IJM turut mengiktiraf minat yang ditunjukkan oleh komuniti pelaburan terhadap cadangan ini dan merakamkan penghargaan kepada para pemegang saham atas penglibatan berterusan serta penilaian teliti terhadap tawaran tersebut.

Dalam kenyataan berasingan, Sunway merakamkan penghargaan kepada semua pihak berkepentingan, rakan strategik dan pelabur yang menilai tawaran tersebut serta terus menaruh keyakinan terhadap syarikat itu.

“Sunway menghargai peluang membentangkan cadangan ini secara telus kepada pasaran serta semua pihak yang terlibat secara konstruktif sepanjang proses berkenaan.

“Tahap minat dan perbincangan yang ditunjukkan mencerminkan kepentingan transaksi ini serta kekuatan pasaran modal Malaysia,” katanya.

Tambahnya, dalam mesyuarat agung, pemegang saham Sunway menyokong cadangan itu dengan 99.27 peratus undian memihak, mencerminkan keyakinan terhadap rasional strategik dan komersial tawaran berkenaan.

“Cadangan ini sejak awal dirangka bagi mewujudkan nilai jangka panjang yang mampan kepada semua pihak berkepentingan.

“Sunway menghormati keputusan pemegang saham IJM serta hasil keseluruhan proses ini,” katanya.

Syarikat itu menegaskan akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan strategi perniagaan dan menjana nilai merentas segmen bersepadu, selain meneroka peluang baharu secara berdisiplin.

“Sunway kekal komited dalam mencipta nilai jangka panjang kepada pihak berkepentingan, komuniti dan negara,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment