Varian cacar monyet Kerala berbeza

NEW DELHI: Varian cacar monyet yang dikesan di Kerala, India berbeza dengan varian yang merebak luas di Eropah sekarang dan tiada kaitan ditemui antara kedua-duanya.

Setakat ini, tiada bukti menunjukkan varian yang mana satu lebih berbahaya atau lebih mudah berjangkit.

Varian A.2 yang sebahagian besarnya turut ditemui di Amerika Syarikat (AS) dan Thailand itu didapati tiada kaitan dengan kluster utama seperti varian B.1, yang ditemui di sebahagian besar Eropah.

Penjujukan genom daripada dua mangsa cacar monyet di Kerala menunjukkan mereka dijangkiti varian A.2, yang disahkan oleh saintis di Institut Genomik dan Biologi Integratif CSIR (CSIR-IGIB).

Salah seorang mangsa terbabit dari Thrissur meninggal dunia kelmarin dan disahkan positif bagi cacar monyet berdasarkan ujian yang dilakukannya sebelum kembali dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.

Saintis penjujukan genom IGIB, Vinod Scaria, berkata kajian terhadap dua pesakit cacar monyet di Kerala mendapati virus yang menyerang mereka ialah varian A.2, berbeza dengan sebahagian besar kes yang dikesan virus di Eropah, yang disahkan varian B.1.

Berdasarkan empat kes cacar monyet yang disahkan di India setakat ini, hanya dua sampel ini saja yang menjalani penjujukan genom.

Di seluruh dunia, hanya terdapat beberapa kes cacar monyet varian A.2 dan kesemua pesakit termasuk satu dari India, pernah mempunyai sejarah perjalanan ke Asia Barat atau Afrika Barat.

“Sampel terawal daripada kluster di AS yang ditemui seawal 2021 menunjukkan virus ini sudah wujud agak lama, lebih awal daripada penularan wabak di Eropah,” katanya.

Setakat ini, lebih 20,000 orang di 78 negara dijangkiti virus itu, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang sudah mengisytiharkan wabak cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan global.

Sementara itu di Eropah, WHO Eropah menjangkakan lebih banyak kes kematian akibat cacar monyet ekoran laporan kematian pertama di luar benua Afrika.

Ramalan itu dibuat berdasarkan perkembangan semasa yang menunjukkan penularan cacar monyet terus berlipat ganda di Eropah.

Kementerian Kesihatan Sepanyol merekodkan kes kematian kedua cacar monyet kelmarin, sehari selepas Sepanyol dan Brazil melaporkan kematian pertamanya, menandakan kematian pertama dikaitkan dengan penularan di luar Afrika.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Sudan hari ini mengesahkan kes pertama cacar monyet di negara itu, yang disahkan lewat semalam.

Mangsa adalah seorang pelajar berusia 16 tahun, yang disahkan dijangkiti penyakit itu di negeri Darfur Barat.

Related posts

Leave a Comment