PUTRAJAYA 7 April – Kementerian Luar sedang memantau rapat perkembangan keselamatan di Asia Barat, susulan peningkatan ketegangan dan konflik yang berterusan di rantau itu.
Dalam kenyataannya, Wisma Putra berkata, fokus utama kekal kepada aspek keselamatan, perlindungan dan kebajikan warganegara Malaysia yang menetap atau berada di kawasan terjejas.
Pada masa yang sama, Malaysia menggesa rakyatnya mengekalkan tahap kewaspadaan dan menangguhkan perjalanan tidak penting ke kawasan yang dilanda konflik di Asia Barat.
Menurut kenyataan itu, Nasihat Perjalanan yang dikeluarkan pada 5 Mac lalu yang menasihatkan rakyat Malaysia supaya menangguhkan semua perjalanan tidak penting ke negara yang terkesan dengan konflik, kekal berkuat kuasa sepenuhnya.
Ia turut menggesa rakyat Malaysia yang berhasrat untuk pulang ke tanah air digesa mendapatkan tiket penerbangan komersial dengan kadar segera sementara pilihan masih tersedia, memandangkan penutupan ruang udara tidak dapat diramalkan.
Memandangkan konflik masih berterusan dan landskap keselamatan terus merosot, didorong oleh retorik yang semakin meningkat serta risiko serangan balas yang semakin hampir, kementerian itu menyatakan fokusnya kekal terhadap keselamatan, perlindungan dan kebajikan rakyat Malaysia yang menetap atau dalam perjalanan melalui kawasan terjejas.
“Pada masa ini, kementerian mengesahkan bahawa semua rakyat Malaysia berdaftar yang dihubungi kekal selamat dan setakat ini tiada rakyat Malaysia dilaporkan terkandas,” kata kementerian itu.
Wisma Putra turut menyatakan bahawa perwakilan diplomatik Malaysia turut melaporkan bahawa ruang udara di beberapa negara, termasuk Bahrain, Iran, Iraq, Kuwait dan Yaman, kekal ditutup kepada penerbangan komersial.
Bagaimanapun, operasi penerbangan komersial yang terhad disambung semula di Emiriyah Arab Bersatu, Jordan, Lubnan, Qatar, dan Syria. Ruang udara di Arab Saudi, Oman dan Turkiye kekal dibuka serta beroperasi sepenuhnya.
“Rakyat Malaysia yang memilih untuk kekal di rantau terbabit mesti mengekalkan tahap kewaspadaan tertinggi.
“Situasi keselamatan adalah sangat tidak menentu dan boleh meruncing pada bila-bila masa dengan amaran yang singkat atau tanpa sebarang amaran. Warganegara Malaysia yang memilih untuk terus berada di rantau berkenaan wajar patuhi sepenuhnya arahan keselamatan serta sekatan pergerakan yang dikeluarkan oleh kerajaan negara tuan rumah,” kata kenyataan itu.
Kementerian itu berkata ia akan terus memantau situasi itu secara dekat dan akan menyalurkan maklumat terkini mengikut keperluan.
Bagi bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi Bahagian Konsular Kementerian Luar di talian +603-8887 4597 / +603-8887 4769 / +603-8887 4264 (waktu pejabat) atau melalui e-mel di bkrm@kln.gov.my.
Bagi kecemasan di luar waktu pejabat, mereka boleh menghubungi talian panas di +603-8887 4570 atau e-mel dutyofficer@kln.gov.my.
