Desak satukan suara hadapi beban kehidupan

SEPANG 7 April  – Penubuhan Sekretariat Rakyat Bertindak Menongkah Kos Sara Hidup (Desak) bukan kerana rakyat suka bising atau mahu sensasi tetapi keperluan darurat menyatukan suara dalam menghadapi beban kehidupan.

Presiden Putra,  Dr Ibrahim Ali berkata, rakyat sudah lama memikul beban sendirian dan bergerak berasingan menyebabkan keluhan mereka mudah ‘ditenggelamkan’ yang akhirnya menguntungkan pihak yang mahu rakyat diam.

Justeru katanya, Desak bukan gerakan yang boleh dilihat sambil lalu kerana Desak lahir ketika rakyat dihimpit dari segenap penjuru, ketika kehidupan keluarga biasa semakin sempit,  dan ketika ramai mula sedar bahawa jika rakyat terus berjuang bersendirian, mereka akan terus kalah bersendirian.

“Menyokong Desak bukan bererti memihak kepada mana-mana kepentingan sempit tetapi kepada keluarga yang setiap hari sedang bertahan.

Menyokong Desak bererti kita mengakui rakyat tidak boleh dibiarkan melawan beban hidup secara terpisah-pisah, bererti memilih untuk menyelamatkan suara rakyat dan menyelamatkan masa depan keluarga daripada terus dihimpit tanpa pembelaan yang tersusun,” katanya dalam satu kenyataan.

Ibrahim sebelum ini mengumumkan penubuhan sekretariat berkaitan kos sara hidup rakyat selepas Himpunan Bantah Harga Minyak pada 5 April lalu di depan Sogo, Kuala Lumpur yang memfokuskan tekanan yang dihadapi rakyat pada masa kini antaranya kenaikan harga petrol dan barang.

Sekretariat yang diketuainya itu akan dianggotai oleh pemimpin-pemimpin parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau individu yang berani bertindak dan bersuara demi rakyat.

Ibrahim mengingatkan jika rakyat masih gagal menyatukan kekuatan untuk mempertahankan hak, maka jangan terkejut,  anak-anak akan mewarisi kehidupan yang lebih sempit, lebih keras dan menyesakkan daripada apa yang dilalui sekarang.

Katanya, rakyat hari ini bukan lagi sedang mengejar hidup selesa sebaliknya bertarung bagaimana hendak terus bertahan, untuk memastikan hidup tidak runtuh, bekerja siang malam tetapi wang tetap tidak cukup.

“Bila harga minyak naik, kos bergerak naik, harga barang ikut naik menyebabkan rakyat mula berkira untuk beli makanan, untuk isi minyak, berkira untuk belanja sekolah anak, dan untuk rawatan ibu bapa.

Bila seorang ayah mula memotong belanja rumah bukan kerana boros tetapi kerana poket makin sempit, itu tanda bahaya. Bila seorang ibu mula menahan diri daripada membeli keperluan sendiri supaya anak-anak cukup makan, itu tanda bahaya.

Bila keluarga mula memilih keperluan mana yang wajib diselamatkan dahulu kerana semuanya tidak mampu ditampung serentak, itu bukan lagi cabaran biasa tetapi tanda hidup rakyat sedang ditolak ke tepi sedikit demi sedikit,” katanya.

Justeru katanya, kos sara hidup bukan isu politik bermusim tetapi isu perut rakyat, isu maruah keluarga dan isu masa depan anak-anak yang sedang membesar dalam suasana hidup yang makin menghimpit.

Katanya, Desak perlu berdiri sebagai benteng penyatuan rakyat kerana selagi rakyat terus berpecah, selagi itulah penderitaan rakyat akan terus dianggap bunyi latar yang boleh dipujuk sekejap, kemudian dilupakan semula.

Beliau berkata, adalah satu kesilapan jika ada pihak yang mungkin masih mahu melihat Desak dengan cermin politik sempit.

“Dalam keadaan hidup rakyat sedang tertekan, soalnya bukan siapa akan menonjol tetapi siapa sanggup berdiri bersama ketika keluarga biasa sedang dihukum oleh keadaan, bertindak sebelum keadaan menjadi lebih parah.

Jangan tunggu sampai lebih ramai anak membesar dalam rumah yang penuh tekanan, lebih ramai peniaga kecil tumbang satu demi satu,” katanya sambil menegaskan berkecuali bukan lagi sikap selamat.

“Menyokong Desak bukan bererti memihak kepada mana-mana kepentingan sempit sebaliknya memihak kepada keluarga yang setiap hari sedang bertahan, memilih menyelamatkan masa depan keluarga daripada terus dihimpit tanpa pembelaan yang tersusun,” katanya.

Maka, semua pihak yang masih ada hati nurani, rasa tanggungjawab dan kejujuran terhadap nasib rakyat wajib melihat penubuhan Desak sebagai satu keperluan yang tidak boleh lagi ditangguhkan. Ini bukan masa untuk memerhati.

“Ini bukan masa untuk berkira. Ini bukan masa untuk menunggu orang lain memulakan langkah. Ini masa untuk berdiri bersama sebelum keadaan menjadi lebih berat dan lebih memeritkan,” kata Ibrahim.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment