PUTRAJAYA 7 April – Sebuah daripada tujuh kapal komersial milik Malaysia yang sebelum ini terkandas di Selat Hormuz berikutan perkembangan situasi di Asia Barat telah diberikan laluan selamat dan kini sedang menuju ke destinasi terakhirnya.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar yang mengesahkan demikian berkata, hasil positif itu adalah susulan pembabitan diplomatik peringkat tinggi.
Ini termasuk perbualan telefon yang konstruktif antara Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dengan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian pada 26 Mac lalu serta antara Menteri Luar, Mohamad Hasan dengan rakan sejawatnya dari Iran, Abbas Araghchi pada 24 Mac.
“Malaysia kekal komited terhadap prinsip kebebasan navigasi, keselamatan dan jaminan laluan maritim, selaras dengan undang-undang antarabangsa.
Malaysia juga menegaskan semula kepentingan dialog yang berterusan dan pembabitan diplomatik dalam menangani cabaran serantau serta mengekalkan keamanan dan kestabilan,” menurut kenyataan itu.
Semalam, Kedutaan Iran di Malaysia memaklumkan bahawa kapal pertama Malaysia telah melalui Selat Hormuz.
“Kami telah menyatakan bahawa Republik Islam Iran tidak melupakan rakan-rakannya,” menurut hantaran kedutaan itu di platform X.
Media sebelum ini melaporkan sekurang-kurangnya tujuh kapal milik Malaysia dijangka belayar dengan selamat melalui Selat Hormuz tanpa sebarang bayaran, walaupun ketegangan di rantau itu semakin meningkat, susulan jaminan daripada Iran.
Duta Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi, dipetik berkata Tehran dimaklumkan mengenai kehadiran kapal berkenaan di Teluk Parsi serta hasrat mereka untuk melalui laluan perairan strategik itu.
Sebelum ini, Mohamad dilaporkan, berkata tujuh kapal tangki milik Malaysia sedang menunggu kebenaran untuk melalui Selat Hormuz.
Ia terdiri daripada tiga milik Petronas, dua milik MISC Bhd, serta masing-masing satu milik Sapura Energy dan Shapadu Corporation Sdn Bhd.
Sekatan terhadap pergerakan kapal di Selat Hormus berlaku selepas Iran mengehadkan transit melalui laluan penting global itu yang biasanya mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia.
Ia adalah tindak balas terhadap serangan dilancarkan Amerika Syarikat dan Israel, kira-kira sebulan lalu.
Nnnn
