Doktor mangsa tipu rugi RM270,000

JOHOR BAHRU 6 April  – Seorang doktor pediatrik sebuah hospital kerajaan di sini, kerugian RM270,000 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan saham atas talian yang tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kes berkenaan daripada mangsa lelaki tempatan berusia 40 tahun.

Katanya, kejadian bermula apabila mangsa menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp yang menawarkan pelaburan saham dengan pulangan tinggi sebelum dipujuk memuat turun aplikasi dikenali sebagai “WLS.”

“Mangsa kemudian diarahkan oleh suspek untuk membuat beberapa pemindahan wang ke akaun yang berbeza bagi tujuan pelaburan itu.

Dalam tempoh antara 21 Oktober 2025 hingga 1 Disember 2025, mangsa telah melakukan lapan transaksi dengan jumlah keseluruhan RM270,000,” katanya dalam kenyataan semalam.

Bagaimanapun apabila mangsa cuba mengeluarkan keuntungan, suspek meminta bayaran tambahan atas alasan ‘caj penutupan’ dan mangsa mula curiga serta menyedari dirinya diperdaya kemudiannya membuat laporan polis.

“Siasatan awal mendapati akaun bank yang digunakan mempunyai rekod penipuan dan dipercayai berkait dengan sindiket penipuan pelaburan atas talian. Polis sedang giat mengesan suspek termasuk melalui semakan akaun bank dan rekod telekomunikasi,” katanya.

Beliau mengingatkan, orang ramai supaya berwaspada dan membuat semakan melalui portal Semak Mule bagi mengelakkan kerugian berikutan sindiket penipuan kini semakin licik dan menyasar semua golongan termasuk profesional.

Polis turut mengingatkan orang ramai supaya menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 dengan segera sekiranya mengesyaki menjadi mangsa penipuan.

Nnn

Related posts

Leave a Comment