BDR berdasarkan syarat khas bermula 15 April

PUTRAJAYA 2 April – Pegawai sektor awam di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, serta semua ibu negeri dengan jarak perjalanan sehala dari pejabat ke rumah melebihi lapan kilometer dibenarkan bekerja dari rumah (BDR).

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz menerusi surat edaran yang disiarkan hari ini memaklumkan, pelaksanaan BDR Konflik Asia Barat, selama tiga hari dalam seminggu itu berkuat kuasa mulai 15 April.

Pelaksanaan BDR itu juga berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (PPSM) Ceraian SR4.1.2: Dasar BDR yang memperuntukkan dasar, syarat dan peraturan BDR.

Pelaksanaan BDR bagaimanapun dikecualikan untuk tiga sektor membabitkan keselamatan dan pertahanan, kesihatan serta pendidikan.

Bagi negeri di mana Ahad menjadi hari kelepasan mingguan, BDR ditetapkan pada Selasa, Rabu dan Khamis secara sepenuh hari manakala negeri cuti mingguan Jumaat iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu, BDR secara sepenuh hari pada Isnin, Selasa dan Rabu.

Sepanjang pelaksanaan BDR, tempat bekerja pegawai ialah rumah yang didaftarkan dalam Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS) sahaja.

Pegawai awam juga perlu menggunakan Sistem Pemantauan Operasi Tugas Secara Elektronik (SPOT-Me) yang membolehkan perekodan kehadiran pegawai melalui fungsi geolokasi pada peranti mudah alih dari rumah.

Mereka perlu mendaftar masuk dalam SPOT-Me setiap satu jam dan ketua jabatan hendaklah memantau keberadaan pegawai.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment