Pemandu mabuk dituduh bunuh

KLANG 1 April – Seorang juruteknik yang sebelum ini ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah didakwa atas tuduhan membunuh seorang penunggang motosikal di Jalan Raya Barat, Ahad lalu.

R Saktygaanapathy, 28, yang tidak diwakili peguam dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang, di sini hari ini.

Dia mengangguk faham selepas pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian mangsa dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret A Karthiyayini.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berikutan kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tertuduh didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian kepada Amirul Hafiz Omar, 33 di Jalan Raya Barat di sini, kira-kira pukul 11.47 pagi pada 29 Mac lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara selama tempoh tidak kurang daripada 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun.

Sekiranya tertuduh tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.

Pada masa sama, tertuduh turut didakwa memberikan dadah jenis benzo dan tetrahydrocannabinol (THC) ke dalam badan sendiri di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, jam 3.30 petang, pada hari sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen dan Akta yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih daripada dua tahun.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh mengaku bersalah bagaimanapun tiada ikan jamin ditawarkan kerana dia turut berdepan kes bunuh.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya,Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan mahkamah menetapkan tarikh 3 Jun depan bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia berhubung kes terbabit.

Sebelum ini suspek yang diuji positif alkohol dan dadah, ditahan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan kerana memandu di bawah pengaruh bahan terlarang.

Dalam kejadian pukul 11.40 pagi Ahad lalu Amirul Hafiz maut di tempat kejadian selepas dirempuh kereta dipandu tertuduh yang bergerak laju di laluan bertentangan menuju ke arah bandar Klang dari Jalan Raya Barat.

Tertuduh dipercayai memotong beberapa kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung motosikal mangsa menyebabkan mangsa tercampak ke atas sebuah kereta Perodua Myvi dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Amirul Hafiz Omar yang bekerja di gudang pada waktu siang dan sebagai penghantar makanan pada waktu malam.

Allahyarham meninggalkan isteri, Nor Nadia Abdul Majid, 32, serta tiga anak, iaitu Muhammad Aqif Amsyar, 9; Muhammad Afif Izz Rayqal, 7; dan Nur Humaira, 2?

Nnnn

Related posts

Leave a Comment