KLANG 1 April – “Satu saja saya hendak cakap nyawa dibalas nyawa,” demikian kenyataan isteri kepada Allahyarham Amirul Hafiz Omar yang terbunuh dirempuh seorang pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah Ahad lalu.
Nor Nadia Abdul Majid, 32, bersyukur dan meluahkan rasa lega selepas tertuduh didakwa membunuh suaminya di Mahkamah Majistret Klang, di sini, hari ini.
“Syukur Alhamdulillah. Terima kasih Ya Allah. Terima kasih di atas pertuduhan itu (tuduhan bunuh ke atas suspek) Ya Allah. Lega sikit saya rasa Ya Allah. Satu saja saya hendak cakap nyawa dibalas nyawa.
Itu saja saya nak cakap, selainnya saya serah kepada peguam (mengendalikan kes ini). Alhamdulillah saya sangat-sangat bersyukur dan berpuas hati hari ini. Saya amat-amat lega,” katanya dalam sidang media selepas prosiding pendakwaan berkenaan di perkarangan Mahkamah Klang di sini, hari ini.
Nor Nadia berkata, dia kembali ke Shah Alam bagi menguruskan perpindahan sekolah anak-anaknya ke kampung halaman di Taiping, Perak.
“Saya balik ke sini kerana saya hendak uruskan pertukaran sekolah anak-anak ke sana. Dekat sana, ramai ahli keluarga.
“Di sana, kalau saya sibuk bekerja ahli keluarga dapat bantu (jagakan anak-anak), kalau di sini, kalau saya sibuk, anak-anak tiada orang hendak tolong tengokkan.
Memang amanat arwah ada pesan, ‘kalau apa-apa jadi, balik duduk kampung. Jangan duduk sini, sini tak ada siapa,” katanya.
.Nor Nadia berturut berkongsi dengan pemberita, malam tadi anak-anaknya merindui arwah dan tidur bertemankan baju arwah.
“Anak-anak semalam tidur pakai baju arwah. Semalam saudara mara ada bawa anak-anak pergi ke kubur. Anak yang kecil tidak pernah pergi ke kubur dan cakap ‘Papa kat dalam (kubur)’.
“Saya perlukan bantuan sokongan juga untuk emosi anak-anak. Saya tidak mahu anak (sulung) rasa bersalah sebab dia (minta) arwah pergi untuk mencari buku teks.
“Saya tidak mahu dia rasa bersalah ataupun dibuli di sekolah nanti. Itu yang saya takut saya fikir. Itu sahaja,” katanya juga mengesahkan beberapa pihak menghubunginya untuk membantu termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Sementara itu, Mohd Faizi memaklumkan keluarga Amirul Hafiz merancang menuntut pampasan lebih RM1 juta demi keadilan untuk isteri dan tiga anak mereka.
“Kita akan buat pengiraan dari segi gaji, sumbangan dan tanggungan dan penggandaan kepada berapa umur. Semua itu ada formula dan saya berbincang (dengan keluarga). Tetapi kita ada angka.
“Mungkin dalam jumlah tersebut (anggaran RM1 juta). Insya-Allah,” katanya yang akan mewakili keluarga sepanjang prosiding kes itu selain menasihati kes jenayah dan tindakan sivil yang akan diambil nanti.
