KUALA LUMPUR 29 Nov. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 399 laporan berkaitan kes penipuan pakej umrah membabitkan sebuah syarikat pengendali umrah dengan kerugian RM14.2 juta, sejak 1 Januari lalu hingga kelmarin.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf, berkata semua laporan polis itu membabitkan 1,614 jemaah dengan 21 kertas siasatan dibuka merangkumi nilai kerugian RM521,090.
Beliau berkata sebanyak 229 laporan polis sudah dirujuk ke Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).
Manakala lima lagi laporan polis dirujuk ke majistret bagi tuntutan sivil keatas syarikat terbabit, dan baki 104 laporan polis diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA), rujuk lain laporan dan tiada kesalahan didedahkan.
“Kita sudah menjalankan tindakan siasatan antaranya merakam percakapan mangsa dan saksi dan mendapatkan resit transaksi pembayaran yang dibuat oleh mangsa dalam akaun bank yang terlibat.
“Selain itu, kita turut mendapatkan laporan penyata kewangan syarikat berkenaan, Bhd, buat semakan lesen dengan MOTAC, semakan pendaftaran syarikat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman di sini, hari ini.
Rekod PDRM menunjukkan jumlah laporan polis tertinggi dibuat di Selangor dengan 88 laporan, diikuti Kuala Lumpur (56), Terengganu (40), Johor (35), Kelantan (34), Melaka (24), Sabah (23), Perak (19), Kedah (18), Pahang dan Negeri Sembilan (17), Pulau Pinang (16), Sabah (11) dan Perlis (satu).
Ramli berkata siasatan mendapati, syarikat ini didaftarkan pada 2015 dan menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan termasuklah pelancongan.
Katanya, syarikat ini menawarkan pelbagai pakej umrah bermula dengan harga RM5,999 hingga RM11,490 dan berdasarkan makluman MOTAC, pada awal 2023, kerajaan Arab Saudi menaikkan kos pengurusan umrah dan haji meliputi harga penginapan, pengangkutan dan makan minum.
Keadaan itu katanya menyebabkan kos pakej yang ditawarkan oleh syarikat ini tidak lagi relevan.
Siasatan mendapati operasi syarikat ini dipercayai mula terganggu selepas negara dilanda pandemik pada 2020 dan masalah kewangan itu dipercayai menyebabkan syarikat itu menghantar kumpulan jemaah umrah pertama menggunakan wang bayaran oleh kumpulan jemaah umrah kedua.
“Sebagai contoh, jemaah kumpulan A akan dihantar menjalani umrah dengan wang bayaran diterima daripada jemaah kumpulan B dan begitulah seterusnya.
“Masalah mula timbul apabila syarikat tidak cukup modal untuk menghantar kumpulan seterusnya kerana duit bayaran yang diterima daripada kumpulan seterusnya tidak mencukupi,” katanya.
Katanya, pihak syarikat ada mengadakan rundingan dengan jemaah yang tidak dapat diterbangkan dan memberikan dua pilihan iaitu yang pertama, terus menunggu giliran ataupun, mendapat pulangan semula wang yang dibayar.
“Bagaimanapun, dikatakan syarikat ini gagal untuk mengotakan janji bagi kedua-dua pilihan yang mereka berikan. Oleh yang demikian, siasatan terhadap syarikat ini sedang dijalankan,” katanya.
Menurut beliau lagi, hasil siasatan yang dijalankan MOTAC di bawah Seksyen 8(1)(d) Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482), syarikat ini sudah dijatuhkan hukuman penggantungan lesen perniagaan umrah mulai 10 Julai 2023 sehingga 9 Januari 2024.
Pada masa sama, SSM juga menyenaraihitamkan syarikat ini dan kedua-dua pengarahnya pada 5 Oktober lalu di bawah Sekatan Pentadbiran (Fungsi Suruhanjaya) mengikut Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Syarikat Malaysia 2001.
Siasatan lanjut juga sedang dijalankan ke atas pengarah syarikat umrah terbabit terdiri daripada sepasang suami isteri, kedua-duanya berusia lingkungan 40-an.
