Argentina pula tinggalkan WHO

BUENOS AIRES – Argentina mengikut jejak Amerika Syarikat (AS) yang menarik diri daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menandakan putus hubungan sepenuhnya dengan badan kesihatan global itu.

Menteri Luar Negeri, Pablo Quirno, yang mengesahkan demikian menjelaskan penarikan itu berkuat kuasa tepat setahun selepas Argentina mengemukakan notis rasmi kepada WHO, selaras dengan tempoh yang ditetapkan perjanjian antarabangsa.

Argentina sebelum ini mengumumkan niat untuk keluar pada Februari tahun lalu di bawah pentadbiran presiden berhaluan kanan, Javier Milei.

Quirno dalam kenyataan di media sosial menegaskan, negara itu akan terus menjalinkan kerjasama kesihatan antarabangsa melalui perjanjian dua hala serta forum serantau, sambil mengekalkan sepenuhnya kedaulatan dalam menentukan dasar kesihatan negara.

Keputusan Milei seiring dengan tindakan Presiden AS, Donald Trump, yang turut mengumumkan penarikan Washington daripada WHO.

Kedua‑dua pemimpin itu sering mengkritik organisasi antarabangsa, menuduhnya mempromosikan dasar “progresif” terutama dalam isu kesihatan dan perubatan.

Tahun lalu, pengumuman Argentina untuk menarik diri dibuat kira‑kira sebulan selepas langkah hampir sama diambil oleh pentadbiran Trump

Milei, yang sering mengecam WHO, menuduh badan itu mengeluarkan nasihat kesihatan yang didakwa tidak saintifik serta berunsur politik, khususnya semasa pandemik Covid‑19, termasuk langkah pemakaian pelitup, penjarakan fizikal, dan vaksinasi.

Dalam satu kenyataan di media sosial, Milei pernah menyifatkan WHO sebagai organisasi “berbahaya” yang melaksanakan “eksperimen kawalan sosial terbesar dalam sejarah”.

Bagaimanapun WHO menjelaskan bahawa ia hanyalah sebuah badan penasihat yang tidak mempunyai kuasa memaksa negara anggota melaksanakan dasar tertentu.

WHO kini menyenaraikan 194 negara anggota — termasuk Argentina sehingga kemas kini terakhir pada laman rasmi agensi itu.

Pengunduran AS sebelum ini turut dikesali oleh Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, yang menyifatkan langkah tersebut sebagai sesuatu yang “menjadikan AS dan dunia kurang selamat”.

Nnnnn.

Related posts

Leave a Comment