Gempa bumi baharu landa Turkiye

ANTAKYA: Satu lagi gempa bumi kuat melanda wilayah sempadan Turkiye dan Syria dengan kekuatan magnitud 6.3 pada kedalaman hanya 2 kilometer (km), dua minggu selepas gempa bumi pada 6 Februari lalu.

Menurut Pusat Seismologi Mediterranean Eropah (EMSC), pusat gempa dikesan berhampiran bandar Antakya di selatan Turkiye di mana gegarannya turut dirasai di Syria, Mesir dan Lubnan.

Gempa pada pukul 8.04 malam tadi (jam 1.04 pagi waktu Malaysia) ini turut diikuti beberapa gegaran susulan termasuk satu gempa bumi berukuran 5.8 magnitud.

Gempa pada 6 Februari dengan kekuatan magnitud 7.8 mengorbankan lebih 47,000 orang dan merosakkan serta memusnahkan ratusan ribu kediaman.

Menteri Dalam Negeri Turkiye, Suleyman Soylu mengumumkan sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dan 213 cedera selepas beberapa bangunan yang sudah rosak dalam gempa bumi sebelumnya runtuh.

Laporan berita menyatakan mangsa terpaksa tinggal di kediaman yang rosak kerana ketiadaan khemah yang mencukupi untuk mereka di luar.

Ahli Geologi Universiti Teknikal İstanbul, Prof Okan Tüysüz, memberitahu NTV gempa bumi kali ini adalah berbeza dan bukan gempa susulan.

Terdahulu ahli seismologi telah memberi amaran bahawa gempa bumi 6 Februari boleh mencetuskan gegaran lain di rantau ini, meminta orang ramai menjauhi bangunan yang rosak.

Menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD), dalam  gempa terdahulu, angka kematian adalah 41,156 di Türkiye dan dijangka meningkat setelah 385,000 pangsapuri musnah atau rosak teruk dan masih ramai mangsa yang belum ditemukan.

Sementara itu, agensi kesihatan seksual dan reproduktif PBB (UNFPA) melaporkan antara mangsa yang terselamat daripada gempa bumi itu ialah kira-kira 356,000 wanita hamil yang memerlukan akses segera kepada perkhidmatan kesihatan,

Mereka termasuk 226,000 wanita di Türkiye dan 130,000 di Syria, kira-kira 38,800 daripadanya dijangka bersalin bulan depan.

Related posts

Leave a Comment