Tidak semua dihalang lalui Selat Hormuz

DOHA – Selat Hormuz yang mengendalikan kira‑kira satu perlima penghantaran minyak global “terbuka kepada semua negara kecuali Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya” ketika perang AS-Israel ke atas Tehran sedang memuncak.

Sebelum ini, pada 2 Mac, penasihat kanan Komander IRGC, Ebrahim Jabari, mengisytiharkan selat itu “ditutup”, dengan amaran bahawa mana-mana kapal yang cuba melaluinya akan “dibakar”.

Pengumuman itu melonjakkan harga minyak dunia melebihi AS$100 setong, berbanding sekitar AS$65 sebelum perang bermula.

Iran bagaimanapun memaklumkan bahawa permintaan daripada beberapa negara untuk laluan selamat sedang dipertimbangkan, dan beberapa kapal daripada “negara berbeza” telah pun dibenarkan melepasi perairan tersebut.


Dari Pakistan, sebuah kapal tangki Aframax berdaftar di Pakistan, Karachi, dilaporkan berjaya keluar dari Teluk dan melalui Selat Hormuz pada Ahad.


Tehran juga memberi pengecualian kepada dua kapal tangki berdaftar India yang membawa gas petroleum cecair dan dilaporkan telah melintasi selat itu dengan selamat menuju ke India.


Sebuah kapal milik syarikat Turkiye yang menunggu berhampiran perairan Iran dibenarkan melintasi selat setelah kebenaran diperoleh daripada Tehran. Daripada 15 kapal milik Turkiye di kawasan itu, hanya satu diberi lampu hijau setakat ini.

Sementara Beijing sedang berunding rapat dengan Iran untuk memastikan laluan selamat bagi kapal pembawa minyak mentah dan LNG Qatar.

China yang mendapat 45 peratus bekalan minyaknya melalui selat tersebut dilaporkan tidak berpuas hati dengan gangguan berterusan. Laporan lain menyebut terdapat kapal yang menukar isyarat AIS untuk menunjukkan kaitan dengan China, bagi mengelakkan serangan ketika melalui selat.

Dalam pada itu menurut  laporan Financial Times, Perancis dan Itali dilaporkan meminta rundingan dengan Iran untuk mendapatkan laluan selamat untuk kapal masing‑masing.


Sebelum ini Presiden AS, Donald Trump, menyeru  pembentukan gabungan tentera laut antarabangsa untuk membuka semula Selat Hormuz, dan meminta negara seperti China, Perancis, Jepun, Korea Selatan dan United Kingdom (UK) menghantar kapal perang ke rantau tersebut.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada negara yang memberi komitmen.

Jerman dan Greece telah menolak penglibatan ketenteraan, manakala UK menegaskan ia tidak akan “ditarik masuk ke dalam perang lebih luas”.

Penganalisis keselamatan Asia Barat, Rodger Shanahan, berkata sekutu-sekutu AS “tidak cenderung” menyertai operasi itu kerana mereka sendiri sejak awal tidak menyokong perang tersebut.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment