SHAH ALAM 25 Jun – Ustaz Don Daniyal Don Biyajid diminta mengemukakan kenyataan bertulis kepada Jawatankuasa Tauliah MAIS berhubung beberapa fakta tentang ceramah agama yang dibuat oleh penceramah bebas itu.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad, berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Tauliah MAIS semalam.
Ia selaras dengan Peraturan 17 (b), (d) dan (f) Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008 agar penggantungan atau penarikan semula tauliah oleh jawatankuasa tidak dilaksanakan terhadap beliau.
“Berdasarkan beberapa aduan yang diterima oleh pihak Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan JAIS, satu kertas siasatan juga dibuka terhadap Ustaz Don Daniyal di bawah Seksyen 7, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau juga memaklumkan, JAIS pada 21 Jun sudah mengeluarkan arahan kepada semua agensi, masjid, surau dan musolla supaya menangguhkan atau tidak membuat apa-apa tindakan mengundang Ustaz Don Daniyal untuk mengajar agama Islam atau apa-apa perkara mengenai agama Islam di premis masing-masing.
Beliau berkata ketetapan itu dibuat berikutan beberapa isu mengenai pengajaran atau ceramah agama Islam yang disampaikan yang disyaki membawa kepada perlanggaran beberapa ketetapan di dalam Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.
“Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah) amat berkenan dan menekankan kepada semua pemegang tauliah supaya umat Islam di Selangor dapat diberikan kefahaman Islam yang tepat berdasarkan sumber sahih mengikut disiplin ilmu Islam.
Sehubungan itu, JAIS perlu menghentikan perkara seumpama ini dengan segera supaya tidak berleluasa di negeri Selangor berkaitan apa jua bentuk pandangan dan pernyataan mengenai hukum-hakam agama Islam yang tidak berasaskan nas dan dalil sahih serta di luar pengetahuan umum majoriti umat Islam,” katanya.
Mohd Shahzihan berkata, JAIS amat berharap semua pihak di Selangor dapat berkerjasama dan akur serta mematuhi arahan untuk tidak mengundang atau membatalkan sesi ceramah atau apa-apa jua bentuk pengajaran agama Islam yang akan dilaksanakan membabitkan Ustaz Don Daniyal.
Arahan itu terpakai sehingga Jawatankuasa Tauliah MAIS membuat keputusan muktamad tentang kedudukan beliau sebagai pemegang tauliah mengajar MAIS.
Sebelum ini, media melaporkan RTM menamatkan khidmat Ustaz Don sebagai pengacara program Salam Baitullah selepas beliau mengulangi perbuatan ingkar arahan penerbit dan tidak patuh skrip.
Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Suhaimi Sulaiman dilaporkan berkata, sebagai pengacara, Ustaz Don sepatutnya patuh kepada skrip dan tidak memetik mana-mana kitab atau hadis ketika bersiaran.
Suaulan itu, pendakwah selebriti itu memohon maaf berikutan memberi kenyataan mengelirukan di sebuah stesen radio berhubung ibadah berpuasa pada hari kedua, ketiga dan keempat pada Aidiladha.
Nnnn
