Trump dakwa bincang Iran pula nafi

WASHINGTON – Presiden Donald Trump, mendakwa bahawa Amerika Syarikat (AS) sedang mengadakan perbincangan dengan Iran ketika peperangan memasuki minggu ketiga, tetapi Tehran belum bersedia mencapai perjanjian untuk menamatkannya.

Trump berkata demikian kepada pemberita di atas pesawat Air Force One tanpa memberi butiran terperinci.

Beliau ditanya sama ada terdapat sebarang usaha diplomasi sedang dilakukan bagi menamatkan konflik itu yang kini merebak ke seluruh Asia Barat serta menjejaskan pasaran global.

“Namun, saya tidak fikir mereka bersedia… tetapi mereka semakin hampir,” katanya.

Trump berkata, beliau tidak pasti sama ada mahu membuat perjanjian untuk menamatkan perang itu atas alasan: ‘pertama sekali, tiada siapa pun tahu dengan siapa anda berurusan, kerana kebanyakan kepimpinan mereka sudah terbunuh.’

Beliau juga mendakwa bahawa Iran ‘sangat mahu mencapai satu perjanjian.’

Bagaimanapun, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, menolak kenyataan Trump dengan menegaskan tiada sebarang perbincangan sedang diadakan antara Tehran dengan Washington.

“Kami cukup kuat dan stabil. Kami hanya mempertahankan rakyat kami,” katanya dalam wawancara melalui ‘Face The Nation’ siaran CBS, semalam.

Beliau menegaskan Iran tidak melihat ada sebarang sebab untuk perlu berunding dengan Amerika, kerana Tehran sedang berbincang dengan AS ketika negara itu memutuskan untuk menyerang Iran.

“Tiada pengalaman yang baik dalam rundingan dengan Amerika,” katanya.

Related posts

Leave a Comment