KUALA LUMPUR 16 Mac – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mengemukakan surat rayuan kepada Presiden parti, Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi menyertai semula parti berkenaan.
Menerusi hantaran di Facebooknya, Ahmad Zahid berkata, surat berkenaan diserahkan kepadanya dalam satu pertemuan yang berlangsung malam tadi.
“Secara peribadi saya sudah menerima permohonan ini dan akan memanjangkannya kepada Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa yang dipengerusikan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk diperhalusi serta diperakukan sewajarnya,” katanya hari ini.
Sebelum ini, pada 5 Mac lalu, Ahmad Zahid, memaklumkan bahawa parti itu membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahlian untuk kembali menyertai UMNO tanpa syarat.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, pelawaan menyertai UMNO bawah inisiatif ‘Rumah Bangsa’ itu turut dibuka kepada mana-mana individu yang mahu bersama perjuangan parti berkenaan.
Pada Januari 2023, UMNO memecat Khairy, dan Noh Omar selain menggantung keahlian bekas Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Hishammuddin Hussein, dan bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan.
Turut digantung keahlian ialah bekas Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Maulizan Bujang.
Dalam pada itu, mengulas mengenai pertemuan itu, Ahmad Zahid berkata ia membawa makna tersendiri dalam usaha penyatuan semula dalam parti melalui gagasan “Rumah Bangsa.”
“Inilah antara makna sebenar Rumah Bangsa. Sebuah ikhtiar untuk menemukan semula yang pernah berpisah, merapatkan kembali yang pernah berjauhan dan menghimpunkan semula kita dalam satu keluarga besar perjuangan.
“Dalam perjalanan perjuangan ini, seperti yang sering saya sebut, biduk lalu, kiambang bertaut. Apa yang lebih utama ialah mencari jalan penyatuan, bukan membiarkan perpecahan terus memisahkan kita.
“Mudah-mudahan Rumah Bangsa menjadi asas untuk kita mempertemukan semula hati-hati yang pernah terpisah, memperkukuh saf perjuangan dan mengembalikan kekuatan UMNO sebagai induk politik orang Melayu dan umat Islam di tanah air ini,” katanya.
Nnnn
