SEPANG 16 Mac – Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menafikan sekeras-kerasnya tohmahan yang mengatakan parti pimpinannya sedang mewujudkan hubungan rapat dengan Pakatan Harapan (PH)
“Ini adalah tuduhan liar yang tidak berasas serta berniat jahat semata-mata untuk menjejaskan keharmonian dalam parti Bersatu dan antara parti-parti anggota Perikatan Nasional.
Perkara tersebut tidak pernah dibincangkan di mana-mana peringkat parti termasuk dalam Majlis Pimpinan Tertinggi yang menentukan dasar dan hala tuju parti,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook.
Katanya, Bersatu mempunyai prinsip perjuangan yang jelas dalam mempertahankan agama, bangsa dan negara serta membela kebajikan rakyat.
Semalam bekas Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainuddin, mendakwa kebanyakan Jawatankuasa Penaja Bersatu Bahagian yang sebelum ini menyaksikan pengunduran ahli jawatankuasa (AJK), membabitkan individu yang mempunyai kaitan dengan PKR.
Ahli Parlimen Larut itu berkata, maklumat itu diperoleh daripada rakan parti seluruh negara yang memaklumkan perkembangan berkenaan selepas pembentukan bahagian penaja dilakukan
“Saya dimaklumkan majoritinya datang daripada PKR dan saya melihat seolah-olah ada usaha untuk membawa BERSATU lebih dekat dengan Pakatan Harapan (PH).
Kalau saya dipecat kerana berjumpa dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zaid Hamidi, bagaimana pula dengan mereka yang secara terbuka mahu bersama dengan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim,” katanya selepas Program Iftar di Dewan Sungai Bayor.
Dalam pada itu, Muhyiddin menegaskan kerjasama Bersatu dengan mana-mana parti berpandukan prinsip yang jelas dan atas prinsip inilah Bersatu mengasaskan Perikatan Nasional (PN) bersama Pas dan diikuti oleh Gerakan dan MIPP.
Katanya, PN adalah wadah terbaik untuk Bersatu merealisasikan perjuangannya dan parti Bersatu tidak pernah berganjak daripada pendirian ini.
Beliau berkata, fokus Bersatu pada masa ini adalah untuk memperkukuhkan parti dan memperkuatkan PN dalam menghadapi PRU-16.
NNNN
