PETALING JAYA 14 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Amira Aisya Abdul Aziz dipilih sebagai Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) bagi penggal 2026 hingga 2029.
Pemilihan Pemangku Presiden MUDA itu menyandang jawatan utama berkenaan dibuat oleh 25 Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (JKEP) yang bermesyuarat petang ini selepas berlangsung pemilihan parti.
Hasil keputusan mesyuarat pertama JKEP MUDA itu diumumkan Pengarah Pemilihan Parti, Muhammad Zaim Zulkafli.
Sebelum itu, Muhammad Zaim turut mengumumkan senarai 25 Ahli JKEP yang dipilih perwakilan parti pada pemilihan kali ini.
Sementara itu, Amira Aisya pada sidang medianya mengumumkan Timbalan Presiden MUDA disandang Zaidel Baharuddin manakala Naib-naib Presiden pula adalah Leben Siddarth, Faezah Rozalman, Zarul Afiq, Dobby Chew dan Dr Siva.
Turut diumumkan hari ini, Ainie Haziqah sebagai Setiausaha Agung MUDA dan Rashid Abu Bakar memikul tugas Ketua Penerangan MUDA.
Media sebelum ini melaporkan bekas Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, tidak bertanding bagi JKEP sekali gus tidak layak bersaing bagi jawatan tertinggi parti yang dipilih dalam kalangan anggota JKEP.
NNNN
