Gandakan ibadah pada 10 malam terakhir

SEPANG 13 Mac – Khutbah Jumaat di Selangor hari ini mengingatkan masyarakat Islam supaya memberi fokus untuk memanfaatkan 10 malam terakhir Ramadan dengan menggandakan ibadah sepanjang malam-malam tersebut.

Khatib juga pada masa yang sama menasihatkan agar semua umat Islam menyerahkan tanggungjawab penentuan awal Syawal kepada pihak berautoriti.

“Umat Islam seharusnya menumpukan perhatian dan terus fokus bagi menggandakan ibadah di sepuluh akhir Ramadan an dan menyerahkan tanggungjawab penentuan awal Syawal kepada pihak berautoriti!” kata khatib.

Menurut Khatib, bulan ini adalah medan muhasabah dan peluang keemasan yang tiada jaminan akan berulang kembali.

Justeru dalam tempoh 10 hari terakhir, umat Islam diseru merebut peluang sebaik mungkin untuk bermuhasabah dan menilai diri, adakah Ramadan dilalui sambil lewa, atau benar-benar menghayati maqasid (tujuan utama) yang terkandung di dalamnya.

Berkaitan pelbagai ramalan tarikh hari raya, khatib mengingatkan bahawa di Malaysia khususnya di Selangor, cerapan hilal Syawal akan diadakan pada 19 Mac ini manakala penentuan 1 Syawwal tertakluk kepada pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja sejurus selepas cerapan sempurna dilaksanakan.

“Khatib ingin menasihatkan agar semua umat Islam menyerahkan tanggungjawab penentuan awal Syawal kepada pihak berautoriti. Umat Islam seharusnya menumpukan perhatian dan terus fokus menggandakan ibadah di sepuluh akhir Ramadan,” tegas khatib.

Di samping itu, khatib turut menzahirkan rasa dukacita apabila kitab suci umat Islam dihina oleh individu yang tidak bertanggungjawab dan menyeru tindakan tegas diambil, supaya perkara sama tidak berulang.

Dalam masa yang sama proses mendidik masyarakat mesti diteruskan, agar budaya menghormati kesucian agama terus difahami dan diamalkan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment