KUALA LUMPUR – Tokoh pemikir peradaban Islam kontemporari, Profesor Diraja Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas meninggal dunia di sini, petang tadi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Sebator Dr Zulkifli Hasan menerusi Facebook menyifatkan pemergian Almarhum bukan sekadar kehilangan seorang tokoh, tetapi hilangnya sebutir permata ilmu bagi umat Islam.
“Almarhum dikenali sebagai mujaddid, pemikir, ilmuwan yang menyalakan kembali obor ilmu dan adab dalam dunia Islam.
Buah fikiran dan perjuangan beliau bukan sahaja menghidupkan wacana intelektual, bahkan turut menyumbang kepada lahirnya institusi penting seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) serta ISTAC,” katanya.
Jenazah Allahyarham akan disolatkan di Masjid al-Taqwa Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini, pagi Isnin sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.
Dilahirkan pada tahun 1931 di Bogor, Jawa Barat, Indonesia, Almarhum dikenali sebagai antara tokoh intelektual Islam paling berpengaruh dalam dunia Islam moden.
Pada Oktober 2024, Almarhum dikurniakan Profesor Diraja atas sumbangannya terhadap negara terutama dalam bidang pendidikan Islam.
Pengurniaan itu disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang berkenan berangkat menyempurnakan majlis pengurniaan watikah pelantikan berkenaan.
Profesor Diraja gelaran tertinggi yang dianugerahkan kepada seseorang profesor oleh Yang di-Pertuan Agong.
Gelaran tertinggi itu dikurniakan kepada ahli akademik yang memberikan sumbangan bernilai kepada masyarakat serta kemajuan Malaysia.
Satu-satunya tokoh yang pernah menerima gelaran Profesor Diraja adalah Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid pada 1978.
Syed Muhammad Naquib yang juga pengasas Institut Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) itu adalah individu penting yang membentangkan konseptualisasi universiti Islam pada Persidangan Pertama Pendidikan Muslim Sedunia di Universiti King Abdul Aziz, Mekah pada 1977.
Hasil pembentangan itu, kemudian membawa kepada penubuhan beberapa universiti Islam di seluruh dunia termasuk di Malaysia.
Selain itu, Almarhum turut memperkenalkan gagasan Islamisasi ilmu yang diterapkan dalam pelbagai cabang pengetahuan merangkumi pendidikan agama, sejarah, falsafah, teologi, metafizik, filologi, semantik, sastera dan seni.
Nnn
