KUALA LUMPUR 6 Mac – Selepas UMNO membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahlian, bekas Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, malam ini secara terbuka mengumumkan hasrat mahu kembali menyertai parti itu menerusi agenda ‘Rumah Bangsa’.
Bekas Menteri Kesihatan itu berkata, beliau melihat pelawaan itu sebagai perkembangan positif dan peluang murni baginya secara peribadi.
“Bolehlah Bobby (Setiausaha Akhbarnya, Raja Syahrir Raja Abu Bakar) mula draf surat (menyertai inisiatif Rumah Bangsa)… saya hendak tengok draf surat berkenaan,” kata Khairy berdasarkan petikan audio siar ‘Keluar Sekejap’ malam ini
Terdahulu, Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan, bahawa parti itu membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahlian, untuk kembali menyertai UMNO tanpa syarat.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dipetik berkata, pelawaan menyertai UMNO bawah inisiatif ‘Rumah Bangsa’ itu turut dibuka kepada mana-mana individu yang mahu bersama perjuangan parti berkenaan.
Ahmad Zahid berkata, Jawatankuasa Rumah Bangsa yang dipengerusikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, akan menyelaraskan proses berkenaan dengan segera melalui tatacara bersesuaian mengikut Perlembagaan UMNO.
Ahmad Zahid juga berharap usaha itu dipermudahkan dan menjadi titik penyatuan yang memperkukuh kembali kekuatan parti dalam meneruskan kelangsungan agenda perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air, selain memastikan masa depan lebih baik untuk rakyat serta negara.
Pada Januari 2023, UMNO memecat Khairy, selain menggantung keahlian bekas Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Hishammuddin Hussein, dan bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan.
Turut digantung keahlian ialah bekas Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Maulizan Bujang.
Selain itu, lima ahli UMNO Pasir Gudang, sembilan ahli UMNO Putrajaya, dua ahli UMNO Tanjong Karang dan 26 ahli UMNO Pahang turut dipecat.
Antara kesalahan mereka ialah didakwa menjadi calon Bebas dan selain BN, serta terbabit membantu parti lawan ketika Pilihan Raya Umum Ke-15.
