Dr Mahathir antara 369 hilang deposit

PUTRAJAYA 20 Nov. – Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) Dr Mahathir Mohamad adalah antara 369 calon kerusi Parlimen yang hilang wang deposit selepas memperoleh undi kurang satu per lapan daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semalam.

Sementara Dewan Undangan Negeri (DUN) pula menyaksikan sebanyak 129 daripada 441 calon yang bertanding dalam tiga pilihan raya negeri iaitu Pahang, Perlis dan Perak hilang wang deposit.

Setiap calon perlu mempertaruhkan wang deposit sebanyak RM10,000 bagi kerusi Parlimen dan RM5,000 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dr Mahathir yang bertanding di Langkawi atas tiket Pejuang gagal mempertahankan kerusi tersebut untuk penggal kedua apabila memperoleh sebanyak 4,566 undi daripada keseluruhan 48,123 undi dalam pertandingan membabitkan lima penjuru.

Selain Dr Mahathir, antara pemimpin kanan Pejuang lain yang turut hilang wang pertaruhan adalah anak beliau, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang gagal mempertahankan kerusi Parlimen Jerlun dengab memperoleh 3,144 undi selepas tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN) Dr Abd Ghani Ahmad.

Timbalan Pengerusi GTA Datuk Marzuki Yahya juga gagal merampas kerusi Sungai Petani daripada Pakatan Harapan (PH).

Turut kehilangan wang deposit termasuklah bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin apabila meraih 4,589 undi dan bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin (1,939 undi).

Selain nama besar pemimpin dan parti, antara calon selebriti dan aktivis sosial hilang wang pertaruhan adalah pengarah filem Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang bertanding di Parlimen Port Dickson mewakili GTA dan calon Bebas Abdul Rani Kulup Abdullah.

Jumlah calon paling banyak kehilangan wang deposit dalam satu kawasan Parlimen adalah kerusi tumpuan di Parlimen Batu apabila lapan daripada 10 calon bertanding hilang wang pertaruhan.

Mereka adalah calon Bebas Siti Zabedah Kasim, Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin atau juga dikenali Cleopatra, Chua Tian Chang (Tian Chua), Too Cheng Huat; Wan Azliana Wan Adnan (Pejuang), Naganathan Pillai (Warisan), Mohd Zulkifli Abdul Fattah (Parti Rakyat Malaysia) dan Datuk A. Kohilan Pillay (Barisan Nasional).

Related posts

Leave a Comment