Kes harian tunjuk penurunan

PUTRAJAYA 27 Mac – Kes harian Covid-19 tempatan semalam menunjukkan sedikit penurunan, iaitu sebanyak 20,923 kes positif, berbanding 21,839 kelmarin menjadikan kes kumulatif sebanyak 4,122,004 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 20,695 kes atau 96.2 peratus melibatkan warga negara tempatan, manakala baki 790 kes, atau 3.8 peratus adalah bukan warga negara.

Katanya, sebanyak 62.16 peratus atau 13,006 kes yang dilaporkan semalam adalah membabitkan pesakit Covid-19 dalam kategori dua diikuti dengan pesakit kategori satu iaitu 7,802 kes (37.29 peratus) dan kategori lima (45 kes) serta kategori empat (44 kes).

Dalam kenyataannya, beliau berkata bagi 115 kes dalam kategori tiga hingga lima itu, sebanyak 73 kes bersamaan 63.48 peratus membabitkan individu berusia 60 tahun ke atas dan mempunyai komorbid (63).

Selain itu sejumlah 48 kes membabitkan individu sudah menerima dua dos vaksin namun tiada dos penggalak; tidak divaksin atau belum lengkap vaksin (33) dan ibu mengandung (1).

Sehingga kini, Dr Noor Hisham berkata, terdapat 302 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu 141 kes disahkan Covid-19 dengan 161 kes disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

Bagi kes di ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan, setakat ini terdapat sebanyak 198 kes iaitu 94 kes disahkan manakala 104 kes disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

Mengulas mengenai perkembangan kluster penularan Covid-19, Dr Noor Hisham berkata semalam pihaknya mengesan tiga kluster baharu dan menjadikan sehingga kini terdapat 232 kluster yang masih aktif di negara ini.

Mengenai fasiliti katil ICU di negara ini, Dr Noor Hisham memaklumkan terdapat lima negeri mencatatkan penggunaan katil ICU melebihi 50 peratus iaitu, tertinggi dilaporkan di Kuala Lumpur dengan kadar 70 peratus.

Empat negeri lain ialah Putrajaya kini mencecah 67 peratus, Johor (59 peratus), Pulau Pinang (57 peratus) dan Selangor (53 peratus) manakala tiada negeri yang mencatatkan penggunaan katil melebihi 50 peratus di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

Selain itu tujuh negeri melaporkan penggunaan melebihi 50 peratus di katil bukan ICU iaitu, Putrajaya kini mencecah 76 peratus, Selangor (70 peratus) dan Kuala Lumpur (59 peratus).

Turut melaporkan ialah Melaka yang berada di paras 57 peratus, Terengganu (56 peratus), Sarawak (51 peratus) serta Perak (50 peratus).

Related posts

Leave a Comment