Johari tolak usul bahas isu saham Azam

KUALA LUMPUR 23 Feb. – Yang Dipertua Dewan Rakyat  Johari Abdul menolak usul untuk membahaskan isu pegangan saham yang membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki.

Johari ketika menolak usul itu berkata perkara tersebut tidak boleh dibahaskan kerana sebuah jawatankuasa khas sudah ditubuhkan untuk menyiasat isu berkenaan.

Terdahulu, Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) membangkitkan Peraturan Mesyuarat 18(1), yang membenarkan seorang bukan menteri memohon kebenaran untuk membangkitkan perkara berkepentingan awam yang mendesak dengan membacakan usul yang diluluskan oleh Yang Dipertua.

Beliau berkata sudah mengemukakan sepucuk surat yang mengandungi cadangan usul itu ke pejabat Yang Dipertua pada 12 Februari,  1.35 tengah hari, dengan berhujah bahawa perkara itu adalah mendesak dan wajar dibincangkan segera di Dewan.

“Dalam surat saya, saya telah menyatakan alasan mengapa saya percaya perkara ini adalah mendesak dan melibatkan kepentingan awam. Saya ingin mendapatkan penjelasan sama ada draf teks tersebut telah diteliti oleh pejabat tuan dan apakah status terkini mengenainya.

Saya bersedia untuk membahaskan perkara ini serta membentangkan isu dan fakta yang berkaitan kepada Dewan ini,” katanya.

Ramkarpal Singh berhujah bahawa penubuhan jawatankuasa untuk menyiasat isu tersebut tidak seharusnya menghalang perbahasan di Parlimen.

“Walaupun sebuah jawatankuasa sedang menyiasat, ia bukan mahkamah undang-undang. Ia hanyalah sebuah jawatankuasa dan tidak menghalang Dewan ini daripada membincangkan perkara tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, Johari berkata siasatan masih berjalan namun beliau akan mempertimbangkan untuk membenarkan isu itu dibahaskan selepas dapatan siasatan dimuktamadkan.

Pada 10 Februari, sebuah portal berita melaporkan bahawa Azam disenaraikan sebagai pemegang 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Bhd, berdasarkan pemfailan korporat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Pegangan saham berkenaan didedahkan dalam pulangan tahunan Velocity Capital Bhd yang difailkan pada 3 Februari tahun lalu.

Azam bagaimanapun berkata pegangan saham terdahulunya dalam syarikat perkhidmatan kewangan itu dibuat secara telus dan mengikut peraturan dan menegaskan tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan berhubung saham bernilai RM800,000 itu.

Beliau sudah mengeluarkan surat tuntutan kepada Bloomberg berhubung apa yang disifatkannya sebagai artikel berunsur fitnah yang mendakwa beliau memegang jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan.

Susulan itu, sebuah Jawatankuasa Khas Siasatan ditubuhkan dipengerusikan Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhtar dengan keanggotaan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam,  Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican.

Jawatankuasa Khas Siasatan bagi isu pemilikan saham Azam itu telah bersidang pada 19 Februari dan memanggil Azam untuk memberi keterangan berkaitan isu pemilikan saham itu.

Berdasarkan laporan awal yang diterima, jawatankuasa itu sedang meneliti aspek pematuhan dan keteraturan pemilikan saham berkenaan oleh Azam.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment