Hamzah masih ketua pembangkang

KUALA LUMPUR 23 Feb. – – Setakat ini Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin masih kekal berperanan sebagai ketua pembangkang di Parlimen, kata Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Dr Ramli Mohd Nor.

Beliau yang mempengerusikan sidang Dewan Rakyat di sini, hari ini menjelaskan sehingga kini, tiada sebarang makluman rasmi diperoleh daripada blok pembangkang mengenai sebarang pertukaran baharu itu.

“Setakat ini, walaupun saya di sini dan soalan ini ditimbulkan ketika saya mempengerusikan sidang, ia membabitkan kepada struktur asas Dewan Rakyat iaitu ketua pembangkang.

“Setakat ini, saya percaya timbalan speaker seorang lagi pun belum menerima apa-apa arahan. Saya percaya, belum ada lagi hitam putih yang diusulkan daripada pihak sebelah kiri atau pembangkang untuk menyatakan kekosongan itu.

Ini (pemakluman kekosongan) perlu secara hitam putih dalam perspektif perundangan dalam Dewan Rakyat,” katanya.

Terdahulu, SN Rayer (PH-Jelutong) membangkitkan persoalan mengenai kedudukan Hamzah sebagai ketua pembangkang, selepas beliau dipecat keahliannya dari Bersatu baru-baru ini.

Bagaimanapun, Awang Hashim (PN-Pendang) kemudian bangkit mempertikai niat disebalik soalan yang dikemuka Ahli Parlimen DAP itu dan mengggesa beliau supaya tidak mencampuri urusan parti lain.

Semalam, Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, memaklumkan Pas akan mengambil alih jawatan sebagai ketua pembangkang Dewan Rakyat, yang mana nama Ahli Parlimen berkenaan akan dimaklumkan kemudian.

Beliau berkata, perkara berhubung jawatan ketua pembangkang baharu itu dipersetujui parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN) dalam Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN, semalam.

Isu ketua pembangkang berbangkit susulan krisis dalaman Bersatu yang menyaksikan Hamzah, yang juga bekas Timbalan Presiden Bersatu dipecat dari parti itu.

Susulan itu, wujud desakan dalam Bersatu yang menuntut perubahan jawatan ketua pembangkang, namun mengikut amalan pemilihan biasa, jawatan itu perlu diputuskan secara konsesus oleh Ahli-ahli Parlimen blok pembangkang.

Pas ketika ini memiliki 43 Ahli Parlimen, diikuti 25 oleh Bersatu yang kini terpecah kepada dua kumpulan – yang menyokong Muhyiddin Yassin dan Hamzah.

Nnn

Related posts

Leave a Comment