PRESIDEN Iran, Masoud Pezeshkian mengarahkan satu “siasatan menyeluruh dan tidak berat sebelah” berhubung insiden yang berlaku semasa protes antikerajaan pada Januari lepas yang mengorbankan lebih 3,000 orang.
“Jika sebarang salah laku dibuktikan, ia akan ditangani mengikut undang-undang,” katanya ketika berucap dalam mesyuarat “Coordination Council of Presidential Deputies”, semalam, Ahad.
Beliau menyeru individu atau kumpulan yang mempunyai dokumen atau data berkaitan supaya mengemukakannya bagi membantu menjelaskan perkara berkenaan.
Protes berkenaan tercetus susulan kemerosotan keadaan ekonomi dan taraf hidup serta berlangsung selama kira-kira dua minggu.
Pezeshkian juga menekankan kepentingan mengadakan perbincangan di universiti serta melibatkan pakar bagi menjelaskan kejadian itu dan membantu meyakinkan pendapat awam.
Terdahulu, pejabat presiden Iran mengeluarkan laporan yang menyenaraikan nama 2,986 individu yang terkorban semasa protes antikerajaan yang tercetus pada penghujung 2025, daripada keseluruhan 3,117 kematian yang direkodkan semasa kekacauan itu.
Korban itu termasuk orang awam dan anggota pasukan keselamatan.
