KUALA LUMPUR 9 Nov. – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Muhyiddin Yassin mendakwa terdapat gerakan terancang daripada parti lawan untuk melemahkan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) dengan menggunakan sogokan dan ugutan terhadap Ahli-Ahli Parlimen.
Beliau yang juga Pengerusi PN berkata, Bersatu tidak akan tunduk terhadap pakatan jahat ini dan tindakan yang lebih tegas akan diambil.
“Saya menyeru ahli-ahli Bersatu supaya kekal tenang dan istiqamah mempertahankan prinsip perjuangan parti sementara kepimpinan tertinggi Bersatu menangani perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa yang sama, Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu akan mengadakan mesyuarat tergempar malam ini untuk membincangkan perkembangan terbaharu berhubung tindakan dua lagi Ahli Parlimen menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.
“Tindakan dua lagi Ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri adalah bercanggah dengan pendirian parti.
Ini adalah pelanggaran disiplin parti yang serius selain membelakangi mandat rakyat yang memilih mereka atas dasar keyakinan terhadap prinsip perjuangan Perikatan Nasional,” katanya.
Setakat hari ini empat orang anggota Parlimen PN dari Bersatu mengesahkan sokongan kepada Anwar.
Semalam Zahari Kechik (PN-Jeli) mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, tidak sampai 24 jam Mohd Azizi Abu Naim (PN-Gua Musang) membuat pengisytiharan yang sama.
Terdahulu Iskandar Dzulkarnain Abdul (PN-Kuala Kangsar) dan Suhaili Abdul Rahman (PN-Labuan), menyatakan sokongan kepada Anwar dengan alasan untuk menjaga kepentingan pengundi-pengundi di kawasan masing-masing.
